RUU kekebalan negara dilulus walaupun ‘kuasa luas’ PM dipertikai-FMT


Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, kuasa mengecualikan dan membuat peraturan harus dipegang oleh ketua negara, seperti di negara lain.


RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 diluluskan dengan undi majoriti Dewan Rakyat selepas Azalina membentangkannya untuk bacaan kali ketiga. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang hari ini membangkitkan kebimbangan berhubung fasal berkaitan peranan dan kuasa perdana menteri yang digariskan dalam Rang Undang-undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023.

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan kuasa penting diberikan kepada perdana menteri, bukannya Yang di-Pertuan Agong, yang diperuntukkan dalam Fasal 32 dan 33 RUU tersebut.

“(Kedua-dua fasal ini) dengan jelasnya menyatakan bahawa kuasa mengecualikan (negara lain) dan juga kuasa membuat peraturan diberikan kepada perdana menteri, bukan perdana menteri dalam majlis kekebalan negara asing.

“Jadi dalam hal ini, saya merasakan bahawa ia agak berbeza dengan undang-undang di negara-negara lain yang terlebih awal dibuat daripada kita,” katanya dalam Dewan Rakyat selepas mencelah dalam ucapan penggulungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Takiyuddin berkata, kuasa serupanya lazimnya dipegang oleh raja-raja atau ketua negara, memetik peruntukan dalam Akta Kekebalan Negara 1978 di United Kingdom dan Akta Kekebalan Negara Asing 1985 Australia.

“Jika bukan kuasa mutlak, kuasa yang sangat luas diberikan kepada perdana menteri. Sedangkan dalam undang-undang di negara lain, (kuasa) diberikan kepada Ratu, ataupun ‘governor-general’, dan juga presiden atau ketua negara,” katanya.

Ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua semalam, Azalina berkata, Fasal 30 memberikan kuasa kepada perdana menteri untuk membatalkan mana-mana atau semua kekebalan negara asing jika Malaysia tidak menerima kekebalan serupa bawah akta yang dicadangkan.

Katanya, Fasal 32 memberikan kuasa kepada perdana menteri untuk mengecualikan mana-mana negara asing daripada peruntukan khusus dalam akta itu, dengan kuasa mengenakan syarat atau sekatan yang perlu atau difikirkan sesuai.

Fasal 33 pula memberikan kuasa kepada perdana menteri untuk menggubal peraturan yang dianggap sesuai atau perlu untuk menguatkuasakan sepenuhnya atau mempertingkat pelaksanaan peruntukan akta itu, tambahnya.

Azalina juga berkata, akta yang dicadangkan itu memerlukan penubuhan sebuah majlis untuk membincangkan dan membuat keputusan mengenai perkara yang berkaitan dengan kekebalan negara asing.

Menjawab Takiyuddin, Azalina berkata, negara-negara yang disebut dalam contoh diberikan Ahli Parlimen Kota Bharu itu tidak mempunyai majlis seperti Malaysia.

“Majlis kita lebih daripada satu orang. Perlindungan yang kita beri lebih banyak daripada Canada, Australia dan juga UK, seperti yang YB sebut,” katanya.

Azalina juga berkata, isu berkenaan kekebalan di mahkamah Malaysia harus mempertimbangkan undang-undang tatacara yang ditetapkan, bukan bergantung kepada peruntukan perlembagaan semata-mata.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undi majoriti selepas Azalina membentangkannya untuk bacaan kali ketiga.

 

RUU merangkumi 33 fasal itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Nov tahun lepas.