Secara khusus, isu stoking bertulis kalimah Allah yang
diangkat oleh Pemuda UMNO adalah isu agama yang secara langsung menyentuh soal
kesucian serta maruah umat Islam.
Siapa pun yang mengaku beragama Islam memang wajar berasa
marah dan bangkit dengan penghinaan tersebut, sekaligus sebagai suatu isyarat
jangan cuba-cuba hal yang sama diulangi lagi.
Tetapi, DAP nampaknya cuba mengheret isu tersebut menjadi
isu politik apabila Ketua Whip Parlimen parti itu, Nga Kor Ming cuba menakutkan
Dr Akmal Salleh bahawa tindakannya itu boleh membawa padah kepada UMNO dalam
PRU16 akan datang.
“Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal tidak seharusnya terus
mencetuskan sentimen perkauman dan agama dengan sikap angkuh dan provokatif.
“Ini adalah tingkah laku yang berbahaya dan tidak boleh
diterima sama sekali.
“Sekiranya Dr Akmal tidak mahu melihat UMNO terus kehilangan
sokongan rakyat, beliau mesti bermuhasabah diri terlebih dahulu, dengan rendah
hati menerima nasihat ikhlas, atau beliau akan dikenang sebagai punca kekalahan
UMNO dalam pilihan raya,” kata Nga pada satu kenyataan.
Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
menambah, manipulasi sentimen perkauman dan agama yang dimainkan Dr Akmal dalam
isu stoking kalimah Allah adalah strategi lapuk yang tidak sesuai dengan usia
mudanya dan era globalisasi pada hari ini.
Dalam hal ini, pertama sekali Nga tidak sepatutnya mengheret
apa yang dilakukan oleh Dr Akmal dalam isu stoking bertulis kalimah Allah
menjadi isu politik dengan ancaman menakut-nakutkan tentang padah yang bakal
menimpa UMNO pada PRU.
UMNO adalah parti Melayu yang memperjuangkan kedudukan serta
maruah Melayu dan Islam, maka tindakan beliau bangkit menentang penghinaan
terhadap kalimah Allah adalah suatu kewajaran.
Antara mempertahankan maruah Melayu dan kesucian Islam
dengan kemungkinan hilang sokongan rakyat pada PRU, sudah tentu membela maruah
Melayu dan Islam adalah pilihan yang tiada kompromi bagi UMNO.
Lagi pun, UMNO hampir seratus-peratus dianggotai oleh
Melayu/Islam, kecuali sejumlah kecil ada Bumiputera bukan Islam di Sabah yang
menjadi ahlinya.
Dengan itu, berjuang seperti apa yang dilakukan oleh Dr
Akmal lebih mungkin meningkatkan lagi sokongan pengundi Melayu/Islam negara ini
kepada UMNO.
Lagi pula, dalam PRU, UMNO lebih banyak bertanding di
kawasan majoriti pengundi Melayu/Islam berbanding di kawasan pengundi bukan
Melayu.
Ia sama seperti DAP yang majoriti kerusi ditandinginya
adalah kawasan bandar yang dihuni oleh pengundi bukan Melayu atau bukan Islam.
Dengan itu, kenapa UMNO perlu takut ditimpa padah seperti
yang cuba digambarkan Nga itu?
Kekalahan UMNO di banyak kerusi pada PRU lalu bukanlah atas
faktor tidak disokong pengundi bukan Melayu atau kerana mainan isu-isu Melayu
dan Islam yang dimainkannya.
Sebaliknya, UMNO tewas kerana tidak disokong oleh pengundi
Melayu sendiri yang lebih cenderung kepada parti Melayu lain atas pelbagai
faktor, termasuk isu kepimpinan tertinggi UMNO yang tidak diterima oleh rakyat.
Kesimpulannya, Pemuda UMNO dan Dr Akmal tidak perlu takut
dengan cubaan menakut-nakutkan yang dilontarkan oleh Nga serta DAP terhadapnya
dalam isu stoking kalmah Allah ini.
Teruslah membela maruah Melayu dan Islam kerana berjuang
mempertahankan maruah Melayu/Islam adalah perjuangan yang mesti melangkaui
ketakutan kepada hilang kerusi atau undi.
Pengajaran mesti diberi kepada mereka yang cuba berlaku
kurang agar, selain pendirian seperti yang diambil Pemuda UMNO inilah yang
boleh menjamin insiden penghinaan kepada Islam tidak berulang lagi di masa
depan. – ShahbudinHusin 19/03/2024.