Kerajaan berkeyakinan nilai ringgit akan bertambah kukuh pada masa
akan datang sekali gus tiada keperluan untuk mengulangi semula langkah tambatan
ringgit sebagaimana pernah dilakukan pada 1998, kata Menteri Kewangan II,
Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau menjelaskan tambatan ringgit dilakukan ketika krisis
kewangan Asia itu apabila pasaran saham merudum sebanyak 76% tetapi sekarang
jika dilihat dari awal tahun ini, ia meningkat sebanyak 6%.
Selain itu, katanya pinjaman luar negara pada 1998 berada pada
tahap 16% daripada pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pinjaman
daripada luar negara ketika ini hanya pada 2.1%.
"Pada masa ini tidak ada perancangan untuk mengadakan
penambatan ringgit, tambatan yang kita buat pada 1998 dalam zaman ekonomi
berbeza berbanding sekarang.
"Kita lihat dari segi reserve (rizab) negara, rizab Bank
Negara Malaysia (BNM) berjumlah sekitar RM113 bilion, ia lebih baik berbanding
RM26 bilion pada 1998.
"Sehubungan itu, tiada keperluan untuk kita react (bertindak
balas) dengan tergesa-gesa mengenainya. Memang kerajaan peka terhadap isu
ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya," katanya pada sesi soal
jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che
Salleh yang ingin mengetahui adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit
bagi mengekang atau menjaga aset negara.
Katanya kejatuhan ringgit boleh dianggap sebagai satu bentuk
penjajahan apabila pelabur asing boleh membeli saham pada kadar yang murah.
Amir Hamzah berkata penganalisis juga berpendapat bahawa ringgit
akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat
kepada RM4.50.
"Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI kita percaya ringgit akan
berada pada kedudukan lebih baik pada masa depan," katanya.