CAKAP SAJALAH TERUS-TERANG KUMPULAN KARTEL ITU IALA


Adun Selat Kelang daripada Bersatu, Abdul Rashid Asari tampil mendedahkan sebab mengapa beliau mengambil keputusan menyokong Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.


Katanya, tindakannya bukan disebabkan kecewa kerana digugurkan sebagai Pengerusi Bersatu Selangor.


Sebaliknya, Abdul Rashid mendakwa, tindakannya itu adalah disebabkan Bersatu Se­langor telah dikuasai “kumpulan kartel” dipimpin individu “baru sehari dua” menyertai parti itu.


Beliau menolak dakwaan merajuk kerana dilucutkan jawatan­ ketua Bersatu negeri, sebaliknya merasakan diri tidak diperlukan parti selepas sembilan tahun bekerja keras me­nubuhkan Bersatu Selangor.


Bagaimanapun, Abdul Rashid tidak menamakan pemimpin yang menguasai kumpulan kartel itu.


Kenapa tidak disebut dengan terus-terang?


Bukankah bila menyebut kumpulan kartel dalam politik negara ini, ia tidak lain merujuk kepada Azmin Ali yang merupakan Pengerusi Bersatu dan Ketua Pembangkang di Selangor?


Sebutlah terang-terang Bersatu Selangor kini telah dikuasai Azmin…kan senang?


Selaku ketua Bersatu Selangor sebelum ini, Abdul Rashid seterusnya mendakwa beliau dipertanggungjawabkan mengenal pasti calon parti untuk bertanding pada PRN tahun lalu.


“Sebelum PRN tahun lalu, Presiden Bersatu (Muh­yiddin Yassin) meminta saya memberikan nama calon untuk bertanding mewakili parti kepada Jawatankuasa Pemilihan.


“Tetapi, lebih separuh nama ketua bahagian yang saya cadangkan itu dihumban keluar kerana ada kartel mahu membawa orang masing-ma­sing sebagai calon Bersatu.


“Orang-orang yang menggantikan pula adalah calon ‘bidang terjun’ yang baru sehari dua sertai parti.


“Tetapi, pada PRN hanya menang majoriti puluh-puluh sahaja, padahal jika ketua bahagian bertanding, boleh menang majoriti lebih besar,” katanya menurut Utusan Malaysia.


Rashid pada 6 Mac lalu mengumumkan beliau menyokong pentadbiran Amirudin tanpa paksaan dan yakin tindakan itu akan memanfaatkan penduduk Selat Klang menerusi kerajaan stabil.


“Keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas saya meneliti titah ucapan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) memuji kerajaan negeri yang berada di landasan tepat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.


Tengok, apa yang disebut Abdul Rashid mengenai pemilihan calon ini pun dengan mudah difahami merujuk kepada kelakuan Azmin.


Nak berselindung dan segan-segan menyebut nama Azmin buat apa lagi? – ShahbudinHusin 11/03/2024


https://shahbudindotcom.net/2024/03/11/cakap-sajalah-terus-terang-kumpulan-kartel-itu-ialah-azmin-ali.html



No comments: