Jumlah pekerja asing tidak
berkemahiran di Malaysia yang mencecah 3 - 3.5 juta orang menyebabkan bukan
sahaja peluang pekerjaan kepada rakyat terbatas tetapi juga para imigran
tersebut terlibat dalam perniagaan.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi
Ramli (PH-Pandan) kerajaan akan segera melancarkan pelan untuk mengurangkan
kebergantungan ekonomi kepada pekerja asing bagi mengelakkan para pekerja asing
tersebut terus menjadi peniaga di negara ini.
"Pandangan saya kita perlu
komited untuk mengurangkan jumlah pekerja asing tidak berkemahiran dalam negara
kita. Ini bukan sahaja dasar tetapi perlu kerjasama industri.
"Ini penting kerana setiap
kali pentadbiran lalu cuba mengurangkan pekerja asing di negara kita, dia akan
dapat bantahan.
"Majlis Tindakan Ekonomi
Negara pada April ini akan memikirkan mekanisme khusus mengurangkan jumlah
pekerja asing secara berkala dan Rancangan Malaysia Ke 13 akan dibentangkan
pada tahun depan bakal meletakkan sasaran mengurangkan pekerja asing secara
drastik
"Kalau kita terus ada 3
juta imigran, baik ada dokumentasi atau tidak, ini mewujudkan satu kumpulan
yang menawarkan struktur kos lebih rendah dan peniaga tempatan tak dapat
bersaing dan akan terus ada orang ramai yang lebih gemar untuk mendapat khidmat
atau produk (murah) daripada mereka," katanya menjawab soalan tambahan
Ahli Parlimen Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) dalam sesi Pertanyaan
Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi.
Tambah Rafizi, kerajaan pada
waktu akan datang bakal membentangkan akta rent seeking atau Akta Anti Ali Baba
bagi membanteras penglibatan warga asing dalam perniagaan.
"Sebahagiannya sebab kita
ada fenomena penduduk tempatan menyewakan lesen. Selagi perkara ini tidak
diselesaikan kita tidak ada undang undang khusus kepada penduduk tempatan yang
menyebabkan fenomena ini semakin bertambah.
"Kita perlu mengetatkan
undang undang supaya menjadi kesalahan membolehkan pekerja asing mengusahakan
perniagaan atas nama orang tempatan," katanya lagi.