UMNO PATUT BOLEH MOVE ON. BANYAK PEMIMPIN LAIN DALAM UMNO YANG BOLEH DIKETENGAHKAN.


 Sebagai parti yang saya pernah aktif dan memegang jawatan di dalamnya, sejujurnya saya berasa UMNO dalam keadaan yang sangat malang ketika ini.

Setelah dua kali kalah dalam PRU iaitu PRU14 dan PRU15 dan ketika sedang terbuka peluang untuk “move on” dan memperbaiki diri, sayang sekali parti itu tidak mengambil peluang untuk melakukannya.

UMNO kalah pada dan hilang kuasa buat pertama kalinya dalam sejarah pada PRU14 adalah berpunca kerana Najib dan skandal 1MDB yang melingkari pentadbirannya.

UMNO ketika itu hanya menang 54 kerusi Parlimen dan jika dicampur atas nama BN, jumlahnya ialah 79 kerusi.

Kalau rakyat atau pengundi ada simpati kepada Najib yang dipenjarakan, UMNO tidak mungkin menang hanya 26 kerusi pada PRU15.

Mengambil kira perkara itu, UMNO sepatutnya sedar, segera bermuhasabah dan berhenti daripada terus memperjuangkan nasib Najib.

Najib patut dilupakan dan sudah tiba masanya UMNO perlu melihat kepada perlunya menonjolkan pemimpin baru untuk menerajui parti itu.

Fokus yang lebih utama sepatutnya ialah mengukuhkan kembali parti, bukan membela kepentingan seorang individu.

Jika Zahid Hamidi dianggap lemah dan berciri diktator di mana cenderung memecat dan menggantung keahlian mereka yang menentangnya, kalau benar pula beliau bakal berundur kerana faktor kesihatan selepas menjalani pembedahan prostat baru-baru ini, pengganti yang ingin ditonjolkan tidak sepatutnya Najib.

UMNO ada Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden, ada Khaled Nordin, Johari Ghani dan Wan Rosdy Wan Ismail sebagai barisan Naib Presiden, malah ada Zambry Abdul Kadir dan lain-lain pemimpin berwibawa yang boleh ditonjolkan sebagai wajah pelapis untuk menerajui UMNO selepas Zahid Hamidi?

Begitu pun, dalam banyak perbualan dengan orang-orang UMNO, mereka merasakan Johari Ghani, kini salah seorang Naib Presiden UMNO serta Menteri Perladangan dan Komoditi paling bersesuaian untuk menerajui UMNO jika parti itu ingin keputusan lebih baik pada PRU16 akan datang.

Kata mereka, dengan Johari mengetuai UMNO melalui proses pemilihan yang perlu diadakan sebelum PRU16, disertai dengan tindakan membawa semula semua pemimpin parti itu yang digantung dan dipecat sebelum ini, harapan untuk melihat ada sinar di hujung terowong lebih mungkin menjadi kenyataan.

Tetapi, agak mengecewakan bila kedengaran masih banyak suara yang mahu Najib digerakkan kembali memimpin UMNO kiranya pada 29 Januari lalu beliau mendapat pengampunan penuh untuk menggantilan Zahid Hamidi yang disebut-sebutkan bakal mengundurkan diri.

Kekecewaan penyokong-penyokong Najib dan mereka yang taksub dengannya, selain kerana bekas Perdana Menteri itu tidak diberi pengampunan penuh, ia lebih didorong kerana beliau dilihat tidak dapat kembali memimpin semula parti dan bertanding pada PRU16 akan datang.

Kenapa masih mahu disandarkan harapan kepada Najib?

Masih tidak sedarkah kepada hakikat bahawa UMNO hilang kuasa pada PRU14 adalah disebabkan Najib dan kalah lebih teruk pada PRU15 juga berpunca kerana rakyat tidak bersimpati dengannya?

Sekarang bila Najib hanya diberi pengurangan hukuman, gambaran paling ketara yang boleh dilihat ialah lebih ramai rakyat yang turut kecewa dan berasakan ia tidak sepatutnya berlaku.

Dalam hal ini, tidakkah UMNO sedar tindakan mereka berterusan membela dan memperjuangkan nasib Najib, bahkan mahu berusaha lagi agar beliau diberi pengampunan penuh dalam waktu terdekat selepas ini, ia adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan keinginan majoriti rakyat?

Apakah UMNO mahu hilang lebih banyak kerusi Parlimen lagi pada PRU16 akan datang? – ShahbudinHusin 05/02/2024.



No comments: