Pembayaran Kos Penghakiman Mahkamah Sesyen oleh Ustaz Dusuki



1.  Saya telah dimaklumkan oleh peguamcara saya pada minggu lepas bahawa peguam Ustaz Dusuki telah menghubungi mereka untuk menyelesaikan tuntutan saya untuk jumlah sebanyak RM11,000.00 iaitu kos yang diberikan oleh Hakim pada 14 September 2022 dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.


2.  Saya mengesahkan bahawa Ustaz Dusuki telahpun membuat bayaran tersebut pada hari ini melalui peguam beliau. Lanjutan dari itu, saya telahpun mengarahkan peguam saya untuk menarikbalik Saman Penghutang Penghakiman yang ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari Jumaat ini. 


3.   Saya ucapkan terima kasih atas pembayaran kos tersebut. Namun demikian, suka saya ingatkan bahawa Ustaz Dusuki masih lagi terhutang kepada saya jumlah kos penghakiman sebanyak RM12,000.00 iaitu sebanyak RM7,000.00 untuk kos rayuan beliau yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mei 2023 dan kos sebanyak RM5,000.00 untuk kos rayuan beliau yang telah ditarikbalik di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Ogos 2023.


4.   Kos-kos ini semuanya adalah berkaitan dgn kes yang difailkan oleh Ustaz Dusuki terhadap saya berhubung dakwaan penjualan aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam. Kes tersebut telah melalui perbicaraan dan rayuan di tiga peringkat Mahkamah, yang mana umum sudahpun mengetahui keputusan akhir kes tersebut. 


5.  Saya juga telah memfail dan menyerahkan kepada Ustaz Dusuki Saman Penghutang Penghakiman untuk tuntutan kos penghakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan tarikh perbicaraan telahpun ditetapkan pada 15 Februari 2024 ini.


6.  Saya berharap agar Ustaz Dusuki dapat  menyelesaikan baki jumlah tuntutan saya sebanyak RM12,000.00 tersebut secepat yang mungkin supaya tindakan-tindakan guaman yang sedang berjalan ketika ini dapat dihentikan dan kita dapat memfokuskan kepada perkara-perkara lain yang lebih penting dan besar manfaatnya kepada ummah. 


Sekian.


YB Senator Datuk Seri Dr Mujahid Bin Yusof Rawa


5 Feb 2024



No comments: