Menurut anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa, bapanya berasa kecewa apabila Lembaga Pengampunan hanya memberi pengurangan hukuman penjara dan denda, bukan pengampunan penuh.
Menerusi Instagramnya, anak perempuan Najib itu berkongsikan perasaan bapanya itu selepas balik dari Penjara Kajang.
Katanya, ketika lawatan itu, Najib memegang sehelai kertas ditangannya – keputusan Lembaga Pengampunan.
“Yana bertanya, “Ayah, macam mana?”
“Daddy jawab: “Kecewa, sangat sangat kecewa”
Dalam hal ini, biar saya kongsikan sedikit dapatan singkat saya di kalangan sebilangan kecil rakyat dua tiga hari kebelakangan ini iaitu sejak diumumkan keputusan Lembaga Pengampunan WP mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun dan pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Sebagai jawapan mudah, di samping menyedari kuasa memberi pengampunan adalah hak serta budi bicara Yang di-Pertuan Agong ketika itu selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan WP, saya hanya berkata, ia dberikan kerana ada permohonan daripada Najib.
“Jika Najib tidak memohon pengampunan, maka tiadalah Lembaga Pengampunan perlu bermesyuarat dan membuat keputusan,” kata saya kepada mereka.
Macam banduan lain, misalnya yang bersalah kerana mencuri makanan atau keperluan untuk disuap ke mulut agar kekal bernafas, atas kesalahan itu mereka biasanya akan dihukum penjara selama beberapa tahun atau bulan.
Oleh kerana mereka itu miskin dan tidak tahu ada ruang untuk memohon pengampunan, maka mereka tidak membuat sebarang permohonan untuk diampunkan.
Mereka sebaliknya hanya reda saja berada di dalam di penjara sehingga sampai waktu untuk dibebaskan.
Kesimpulannya, di sebalik pengurangan hukuman keatas Najib yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan itu, rakyat bukan saja tidak gembira, malah jauh lebih kecewa daripada apa yang Najib rasai.
Ini kerana, rakyat sedar skandal 1MDB atau sabitan bersalah dalam kes SRC International yang Najib sudah didapati bersalah itu, ia bukanlah suatu cerita rekaan, fantasi atau fatamorgana.
Skandal itu adalah cerita nyata yang menggegarkan dunia sehingga beberapa filem dan buku diterbitkan kerananya, bahkan hutang 1MDB masih lagi ditanggung kerajaan.
Dengan itu, daripada segelintir kecil perasaan rakyat yang saya sempat berkomunikasi itu, hampir majoriti berasakan Najib tidak perlu diberi apa-apa pengurangan hukuman, jauh sekali pengampunan penuh.
Saya yakin majoriti rakyat lain juga berperasaan yang sama.
Jika ada badan-badan penyelidik yang sedia membuat “survey” lebih menyeluruh tentang perasaan rakyat daripada pelbagai kaum, usia, latarbelakang, pekerjaan dan sebagainya, saya yakin hasilnya pasti tidak jauh berbeza.
Dengan itu, kepada Nooryana Najwa, pesanlah kepada Najib – janganlah berasa terkalu kecewa kerana rakyat jauh lebih kecewa lagi.
Sebagai langkah ke hadapan, jika benar Najib memahami denyut nadi rakyat, adalah disarankan agar beliau tidak lagi cuba mengemukakan apa-apa permohonan berkaitan pengampunannya selepas ini.
Cukuplah sekali saja permohonan itu dilakukan sebelum ini dan sedarlah, rakyat amat tidak gembira kerana baru setahun lebih saja dihukum penjara daripada 12 tahun yang dijatuhkan mahkamah, rayuan sudah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
Tak payah lagi mohon pengampunan, sebaliknya berehatlah di Penjara Kajang sehingga 23 Ogos 2028 atau kalau tak dibayar denda RM50 juta yang sudah dikurangkan itu, tambahlah setahun lagi berehat sehingga 23 Ogos 2029. – ShahbudinHusin 04/02/2024.