Alhamdulillah berkesempatan makan tengah hari bersama warga Desa Sri Hartamas di Kuala Lumpur hari ini. Usai makan tengah hari, saya menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ubudiah, Bukit Segambut.
Khutbah Jumaat hari ini menjunjung kasih mengimbau jasa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sepanjang di tampuk pemerintahan negara.
Khatib turut menyingkap peranan penting dimainkan Seri Paduka Baginda tatkala mengemudi negara di saat ketidaktentuan politik, penularan wabak dan kegawatan ekonomi yang menyaksikan Al-Sultan Abdullah menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah dengan lebih dari seorang perdana menteri.
Selesai solat Jumaat, saya sempat singgah dan menyantuni anak-anak pelajar di Surau Al-Muqarrabin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya yang dahulu sering ke rumah saya di Bukit Segambut untuk bersama dalam majlis-majlis ilmu yang diadakan.
#MalaysiaMADANI