Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Isu pencen di Malaysia masih belum mantap. Ada kakitangan
kerajaan yang mendapat pencen, ada yang tidak.
Ramai mengeluh dan bertanya kenapa orang politik yang hanya
berkhidmat 36 bulan sebagai wakil rakyat dan pegawai-pegawai lantikan politik
mendapat pencen seumur hidup?
Anggota tentera yang berkhidmat kurang daripada tempoh tertentu
pula tidak dibayar pencen, sedangkan jasa mereka kepada negara begitu besar.
Pekerja swasta dan korporat pula hanya ada caruman KWSP/EPF. Wang
itu pula tidak cukup untuk menampung kehidupan hari tua, terutama bagi yang
tidak sihat dan tidak mampu bekerja lagi.
Kebanyakan kita "kelabu mata" apabila pada umur 55 tahun
mendapat wang pencen RM150,000 hingga RM600,000.
Wang habis dalam tempoh singkat
Kebanyakan daripada wang itu habis dalam tempoh tidak sampai
setahun, terutama bagi yang tiada perancangan kewangan daripada awal.
Dr Bam Al-Haj
Ada yang melabur tetapi lebur. Tidak kurang yang tertipu dengan
"scammer" dan skim cepat kaya.
Ada juga yang cuba berniaga. Buka restoran besar, tetapi tidak
sampai setahun lingkup, sebab tiada pengalaman berniaga.
Ada pula yang "enjoy" bercuti ke luar negara dua tiga
kali setahun. Tanpa sedar, wang semakin habis.
Ada juga yang terpaksa membayar bil hospital akibat penyakit
kronik, iaitu bagi yang tidak berpencen dan tidak mengambil "medical
card".
Oleh itu, kerajaan dicadangkan mengkaji semula sistem pencen untuk
semua, sama ada kakitangan kerajaan atau swasta/korporat dan bahkan bagi
peniaga, petani dan nelayan yang bekerja sendiri
.
Reformasi Persaraan Madani
Sudah sampai masanya sistem pencen ini perlu anjakan baharu. Saya
namakannya sebagai Reformasi Persaraan Madani.
Sistem EPF di Australia dan Singapura sudah lama diubah. Wang EPF
tidak boleh dikeluarkan, tetapi di"convert" menjadi pencen bulanan
AUS3000/$3000 selepas umur 67 tahun, https://www.servicesaustralia.gov.au/age-pension
Sistem ini ianya jauh lebih baik berbanding sistem EPF di
Malaysia.
Saya pasti jika kerajaan PMX berani mengubah sistem sedia ada, ia
akan memberi kelegaan kepada rakyat.
Untuk lebih mantap, caruman pekerja dan majikan boleh ditingkatkan
kepada minimum 25 peratus. Pencen tersebut juga sepatutnya boleh diwariskan
kepada pasangan masing-masing.
Kaji sistem pencen di negara lain
Dahulu ada sistem anuiti takaful, tetapi telah dimansuhkan.
Mungkin mekanisme itu boleh difikirkan semua. Atau ada cara dan kaedah yang
lebih baik.
Elok pegawai JPA, Kementerian Sumber Manusia dan pihak tertentu
buat lawatan ke Australia dan Singapura bagi mengkaji sistem yang mereka
gunapakai sekarang.
Sistem pencen kerajaan kini sudah tidak relevan kerana ia menjadi
beban besar kepada pentadbiran. Kerajaan kini terpaksa menanggung pencen sebanyak
RM1.3 bilion setahun.
Oleh itu, sistem pencen kakitangan kerajaan perlu dimansuhkan dan
digantikan dengan sistem baharu yang lebih baik.
Dengan itu, semua mendapat layanan yang sama dan adil.
Ini semua adalah untuk faedah hari tua. Jika wang tersebut diurus
dengan betul dan terus tanpa ketirisan, rasuah dan penyelewengan, ia pasti
dapat digandakan bagi menampung keperluan rakyat pada masa akan datang.
________________________________________________________________________________
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing
Strategist.
*Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan bukannya
pendirian rasmi Suara Keadilan