Skim saraan tidak berpencen
kakitangan awam yang bakal dilaksanakan akan melibatkan juga ahli politik yang
dilantik sebagai menteri dan wakil rakyat.
Hal itu dinyatakan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurutnya, beliau pada
dasarnya bersetuju bahawa jawatan lantikan politik akan menikmati skim saraan
yang sama seperti kakitangan kerajaan lainnya.
Bagaimanapun Anwar, hal itu
tidak terkesan kepada menteri atau wakil rakyat yang berkhidmat sebelum tarikh
kuatkuasa diumumkan.
"Apa saja keputusan yang
ditetapkan bagi penjawat awam terpakai juga bagi ahli politik. Maknanya, kalau
kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen,
maka itu juga sama untuk semua lantikan baharu ahli politik.
"Jadi ada orang kata
mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi
menteri besar, jadi menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu
menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang
secara retrospektif.
"Untuk yang baharu kita
boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah, kita nak tukar penyesuaian ini.
"Secara prinsipnya, saya
bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam
terpakai bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan
Jemaah Menteri putuskan," katanya dipetik BH dalam sidang media sebelum
makan tengah hari di Restoran Nasi Kandar Pelita, Desa Sri Hartamas.
PM berkata demikian sebagai
menjawab persoalan warganet yang mengecam cadangan menghentikan skim saraan
berpencen kakitangan awam yang seharusnya turut melibatkan ahli politik.
Sebelum ini Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kabinet bersetuju perjawatan
bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata,
pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaan akan dibuat Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (KPPA).