Pemasangan Starlink: 500 penduduk kampung dapat manfaat


 Lebih 500 penduduk Kampung Langsat di Ranau, Sabah mendapat manfaat dari pemasangan peranti Starlink menerusi projek Proof of Concept (PoC)


Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, walaupun projek PoC merupakan penyelesaian sementara bagi sambungan internet, namun dengan akses internet berkelajuan 200 Mbps itu,ia dapat memenuhi keperluan komunikasi penduduk sementara menantikan pembinaan menara telekomunikasi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) siap kelak.


"Pemasangan Starlink di kampung ini sedikit berbeza dengan pemasangan di tempat lain di atas bumbung… di sini ia dipasang di bahagian bangunan bagi memastikan pemasangan kukuh," katanya dipetik.


Menurut Fahmi peranti Starlink di Kampung Langsat itu dipasang pada 7 Sept lepas dan ia merupakan yang kedua di Sabah selepas di Keningau yang siap dipasang pada 5 Sept.


Mengulas mengenai menara telekomunikasi Kampung Langsat, Fahmi berkata pembinaannya lewat daripada jadual asal dan pihaknya sedang berusaha memastikan menara itu siap dalam tempoh terdekat bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.


"Esok (Isnin) saya ada pertemuan dengan Ketua Menteri (Hajiji Noor), kita bincangkan juga perkara ini dan usaha kita penuhi keperluan telekomunikasi di Sabah dengan kerajaan negeri," katanya.


Sementara itu Ketua Kampung Langsat Paimin Abdullah, 71, dipetik laporan media menyatakan rasa gembira dengan adanya peranti tersebut.


Ia jelasnya memberi manfaat kepada penduduk terutama generasi muda yang dapat menggunakannya untuk menimba ilmu dan melakukan kerja-kerja sekolah.


"Sini paling susah dapat internet, sekarang ada internet sudah mudah untuk komunikasi terutama dengan keluarga duduk di luar kampung," katanya.

No comments: