KPM TIDAK PERLU TUNDUK GESAAN PIHAK BATALKAN MINGGU SOLIDARITI PALESTIN



30 Oktober 2023


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak perlu tunduk kepada gesaan mana mana pihak termasuk beberapa orang dari kalangan Ahli Parlimen Keadilan dan DAP untuk mengkaji semula keputusan menganjurkan minggu solidariti Palestin. 


Pemuda AMANAH Terengganu juga ingin menekankan bahawa dalam konteks pendidikan, penting bagi pelajar untuk memahami isu-isu global termasuk konflik di Palestin. Ini adalah sebahagian daripada pendekatan pendidikan untuk membentuk generasi yang prihatin dan berpengetahuan tentang isu-isu dunia.


Pelajar tidak perlu diminta menjadi “neutral” dalam soal Palestin kerana apa yang benar dan salah jelas terpampang. Siapa penindas dan siapa ditindas juga tidak samar samar. Memilih untuk menjadi neutral adalah sikap yang menguntungkan penindas. 


Insiden pelajar membawa senjata mainan yang dijadikan hujah utama beberapa pemimpin politik   adalah tidak sewajarnya dikaitkan dengan Minggu Solidariti Palestin kerana ia berlangsung diluar  tempoh pelaksanaan. Ia juga merupakan insiden terpencil dan tidak seharusnya menjadi cerminan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan KPM. 


Jika satu insiden perlu dibayar dengan pembatalan seluruh program, bermakna DAP perlu membatalkan segala Majlis Makan Malam serta ceramah anjuran parti terbabit kerana bukan sekali, bahkan berkali kali berlaku insiden penceramah celupar yang menyentuh soal kaum dan agama dalam ucapan mereka. 


Tetapi majlis seumpama tetap diteruskan dengan aturan yang lebih baik dan berhati hati. Jadi tiada sebab Minggu Solidariti Palestin perlu dibatalkan hanya kerana berlaku satu insiden yang tidak wajar. 


Pemuda AMANAH Terengganu juga menyeru pihak sekolah agar melaksanakan Minggu Solidariti Palestin mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh KPM dengan menerapkan pemahaman nilai-nilai positif dalam kalangan pelajar dan tidak mengetengahkan unsur-unsur yang mudah diberi persepsi radikalisme, ekstremis, atau keganasan dalam program yang dianjurkan. 


Muammar Qaddafi bin Mohd Nasir

Setiausaha Pemuda AMANAH Negeri Terengganu



No comments: