HUAWEI DIDAKWA DIBERI KONTRAK 5G SECARA RUNDING TERUS, INI JAWAPAN FAHMI

 

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Ong Kian Ming mempersoalkan langkah kerajaan memberikan kontrak rangkaian 5G kedua kepada gergasi telekomunikasi China, Huawei secara rundingan terus.

Ong berkata dia berasa terkejut kerana pemberian kontrak tersebut sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka dan bukan secara rundingan terus dengan mana-mana entiti tunggal.

Ini kerana katanya, antara perkara pertama dilakukan Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai perdana menteri adalah mengarahkan siasatan penuh mengenai kontrak rangkaian 5G sedia ada yang diberikan kepada Ericsson melalui Digital Nasional Bhd (DNB).

Tambahnya, meskipun penyiasatan lanjut mendapati kontrak berkenaan diberikan secara telus, namun reputasi kerajaan akan tercalar sekiranya tiada sebarang tender atau proses perolehan yang telus dibuat bagi melaksanakan rangkaian 5G dwitunggal.

Selain itu katanya, keperluan untuk rangkaian 5G kedua belum dapat dibuktikan dengan kukuh, terutamanya kerana DNB dilihat telah melakukan usaha yang baik dalam melaksanakan rangkaian 5G.

Malah katanya Malaysia turut diperakui sebagai salah satu negara dengan kelajuan 5G yang paling laju di dunia.

“Meskipun ini turut didorong oleh bilangan pengguna 5G yang masih rendah, tidak dapat dinafikan bahawa model rangkaian borong tunggal yang diguna pakai oleh DNB bukan sahaja berkesan dalam meluaskan liputan 5G dengan cepat, tetapi kelajuan yang dicapainya jauh lebih baik daripada 4G, terutamanya apabila dilihat dari perspektif global.

“Jika kelajuan dan liputan rangkaian 5G sedia ada sudah mencukupi, masih perlukah kita berbelanja untuk rangkaian kedua?” soalnya dalam satu kenyataan.

Tambah Ong, perjanjian mengenai struktur pemilikan DNB oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) sehingga ke hari ini masih belum berjaya dimuktamadkan.

Katanya, perjanjian pemilikan ini penting untuk memastikan komitmen MNO, terutamanya Maxis dan Digi/Celcom terhadap DNB.

“Beberapa penganalisis industri mengesyaki bahawa dua “abang besar telko” ini mempunyai niat untuk “membunuh” DNB, supaya asetnya boleh dilelong dengan murah dan mereka tidak lagi perlu membayar yuran akses yang sama kepada DNB.

“Sekiranya ini terjadi, Kementerian Kewangan yang akan terpaksa menanggung hutang DNB, bukannya pengendali utama telco. Ini akan mengakibatkan ‘kerugian sosial’ malah ‘penswastaan keuntungan’.

“Dan situasi ini sebenarnya banyak kali telah kita lihat serta alami di dalam pentadbiran lampau, yang saya yakin Datuk Seri Anwar akan cuba elakkan, memandangkan pada akhirnya Kementerian Kewangannya yang terpaksa membayar hutang yang lapuk,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan membenarkan Huawei dari China memecahkan monopoli DNB milik kerajaan terhadap rangkaian 5G.

Anwar berkata dia mengakui kebimbangan beberapa negara mengenai isu keselamatan dan kapasiti teknologi yang melibatkan faktor dari China.

Namun katanya, keputusan untuk membenarkan rangkaian 5G kedua itu dibuat supaya Malaysia boleh mendapat manfaat daripada teknologi Barat dan Timur.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/682047

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak memberikan kontrak rangkaian 5G kedua kepada mana-mana pihak secara rundingan terus.

Beliau yang menafikan kontrak berkenaan telah diberikan kepada gergasi telekomunikasi China, Huawei secara rundingan terus berkata mana-mana pihak yang ingin membuat bidaan boleh melakukannya apabila tiba masanya melalui tender terbuka.

“Ia adalah aspek komersial dan sama seperti yang dilalui pihak DNB (Digital Nasional Bhd), ia bergantung, apabila kita wujudkan entiti B iaitu network kedua, semestinya pihak lembaga akan membuat keputusan-keputusan yang bersikap komersial.

“Mana-mana sahaja pihak yang dapat memberi perkhidmatan pada harga yang rendah, maka harga rendah itu akan menang (bidaan). Pada waktu ini, belum ada apa-apa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pos Sedunia 2023 di ibu pejabat Pos Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Berita penuh di sini – https://m.malaysiakini.com/news/682118



No comments: