MAHATHIR DIGESA HENTI BUAT KENYATAAN MENGHASUT

 

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan membidas Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan berkaitan sekolah vernakular .

Ramanan dalam satu kenyataan turut mendesak bekas Perdana Menteri itu berhenti mengeluarkan kenyataan menghasut dan tidak membawa nilai kepada perpaduan negara.

Menurut beliau, Mahathir seolah-olah menafikan pendidikan sekolah vernakular itu sebahagian dari sistem pendidikan di negara ini yang telah wujud sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Mereka (sekolah vernakular) dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, tidak seperti sekolah swasta dan mereka telah wujud sejak merdeka.

“Sekolah rendah Cina misalnya mempunyai lebih 100,000 pelajar Melayu, India dan bumiputera lain manakala sekolah rendah India mereka memainkan peranan utama dalam pembangunan negara.

“Saya menjemput Dr Mahathir untuk melawat sendiri sekolah-sekolah ini dan lihat sifat-sifat mereka kepada perpaduan negara dalam program dan silibus sekolah berkenaan.

“Bakat terbaik yang menamatkan pengajian dari sekolah rendah ini telah menduduki jawatan tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta. Hasil daripada kewujudan sekolah-sekolah ini, rakyat Malaysia telah dapat memahami bahasa Mandarin dan Tamil yang merupakan aset linguistik.

“Satu sebab mengapa orang Melayu dan India menghantar anak mereka ke sekolah vernakular ini selama enam tahun pendidikan rendah adalah kerana mereka mahu anak mereka belajar bahasa Mandarin atau Tamil di sekolah Tamil,” katanya.

Mahathir baru-baru ini membuat kenyataan mengejutkan apabila menggesa supaya sistem sekolah vernakular di seluruh negara dimansuhkan.

Pandangan bekas Pengerusi parti Bersatu itu berbeza dengan pendiriannya pada Julai tahun lalu, yang mempertahankan kewujudan sekolah vernakular dengan mendakwa desakan segelintir pihak mahu penutupan aliran tersebut hanya lebih bermotifkan politik.

“Dr Mahathir malangnya telah memilih untuk melihat segala-galanya dari sudut perkauman untuk memastikan beliau berada dalam berita (dilaporkan media). Beliau pada usia 98 tahun, seharusnya memainkan peranan untuk membawa rakyat Malaysia bersama-sama dan bukannya mewujudkan perpecahan.

“Kami ingin tahu sama ada cucunya bersekolah di sekolah swasta atau antarabangsa atau mereka berada di sekolah kebangsaan kita, seperti rakyat Malaysia yang lain?

“Amat dikesali Dr Mahathir masih menyebut rakyat Malaysia yang bukan Melayu sebagai “pendatang” ketika kita menyambut ulang tahun ke-66 kemerdekaan negara.

“Bukan sekolah vernakular yang menyebabkan perpecahan negara tetapi ahli politik seperti Dr Mahathir,” katanya dipetik.



No comments: