Sebagaimana dilaporkan media dan gambar-gambarnya turut tersebar di media sosial, Presiden Pas, Hadi Awang semalam mengetuai rombongan pemimpin tertinggi parti itu bertemu Tun Manathir Mohamad.
Yang hadir ialah Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli, Sanusi Md Nor (Kedah), Nassuruddin Daud (Kelantan), Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) serta Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan.
Difahamkan pertemuan selama 90 minit itu untuk membincangkan berkenaan pembangunan ekonomi di negeri-negeri yang ditadbir Pas.
Adalah dipercayai ini merupakan pertemuan kali pertama melibatkan empat Menteri Besar Pas secara serentak yang diketuai Hadi Awang dengan Tun Mahathir
Sebelum ini, di kalangan ketua kerajaan negeri Pas, yang kerap dan hampir tidak pernah tertinggal setiap kali Hadi Awang bertemu dengan Tun Mahathir hanyalah Ahmad Samsuri yang dikatakan orang paling dipercayai Presiden Pas itu.
Bagi Shukri yang menjadi Menteri Besar Perlis sejak PRU15 lalu dan Nassuruddin yang menerajui Kelantan sejak PRN baru-baru ini, pertemuan dengan Tun Mahathir ini barangkali yang pertama buat mereka.
Apa mustahaknya Hadi Awang membawa empat Menteri Besar itu bertemu Tun Mahathir?
Pernahkah sebelum ini beliau membawa empat Menteri Besar berkenaan bertemu dengan Mahiaddin Md Yasin, Pengerusi PN sendiri?
Tidakkah sepatutnya, sebelum mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir, Hadi Awang harus membawa mereka itu bertemu dengan Mahiaddin terlebih dahulu memandangkan kedudukannya sebagai Pengerusi PN, gabungan yang Pas berada di dalamnya?
Apakah dalam hal ini, bagi Pas dan Hadi Awang. Tun Mahathir yang hilang deposit ketika bertanding dalam PRU15 lepas dan tiada kaitan dengan PN, lebih penting berbanding Mahiaddin selaku Pengerusi PN?
Semalam juga, ketika pertemuan dengan Tun Mahathir itu, Hadi Awang sepatutnya bertemu dengan pihak polis Bukit Aman untuk diambil keterangannya berhubung ucapannya yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan memohon soal siasat itu ditangguhkan atas alasan keuzuran.
Tetapi, dalam keuzuran dengan pihak polis itu, rupa-rupanya boleh pula bertemu dengan Tun Mahathir dengan wajah yang nampak ceria?
Mahiaddin tak penting dan polis juga tak penting, agenda apakah yang penting sangat untuk Hadi Awang bersama empat Menteri Besar Pas bertemu dengan orang hilang deposit berkenaan? – ShahbudinHusin 03/09/2023.