Gelombang hijau belum cukup kuat untuk merempuh pertahanan ampuh Pakatan Harapan (PH) dan BN di Johor.
Setelah seminggu berkempen, sokongan di Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kelihatan masih menyebelahi calon PH.
Hal itu dinyatakan oleh Ketua Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dalam forum bertajuk “Gelombang Merah Biru Di Pulai” terbitan Sumberkini, malam tadi
Menurut beliau, biar pun terdapat peningkatan menggalakkan pengaruh Pas-PN di kedua dua kawasan yang mendapat undi di bawah 10% pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 tetapi mencanak kepada lebih 20% pada PRU 15, tetapi jumlah tersebut, katanya masih belum mencukupi untuk memastikan PN menang.
“Dalam konteks Johor, saya melihat ada sedikit perbezaaan kerana faktor demografi, geografi, psikografi dan tingkah laku bangsa Johor itu yang sedikit berbeza, jika dibanding senario Melayu di Pantai Timur dan Utara.
“Biar pun PN mendapat peningkatan yang ketara muktahir ini, bila sampai di Johor mereka tetap mendapat peningkatan sokongan tetapi masih belum ada petanda jelas mereka beroleh momentum hampir sama seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu
“Bahkan dalam PRN lepas, Negeri Sembilan pun PN belum boleh menembusi sepenuhnya,” ujar Dr Yusri.
Menyentuh sokongan dari pengundi UMNO, Dr Yusri sedikit kritikal kerana berdasarkan tinjauan yang dibuat Ilham di lapangan pada PRN lalu, mendapati akar umbi UMNO masih keliru dan enggan mengundi PH.
Dalam PRK ini, katanya, UMNO perlu memujuk separuh pengundi mereka untuk memangkah PH bagi memastikan kemenangan kerana dua PRK tersebut merupakan misi hidup mati parti berkenaan.
“Saya melihat walaupun yang bertanding Amanah tetapi Umno melihat ini misi hidup mati mereka.
“Mereka pasti mahu menyekat gelombang PN yang begitu banyak di kawasan Melayu muslim. Sudah tentu Johor tempat lahir Umno, parti itu mahu pastikan momentum PN tidak berterusan membadai Johor.
“Untuk selamatkan UMNO Johor yang keadaan tidak sebegitu kuat, PH – BN pelu menang
“Ahli UMNO (saya dapati) masih lagi kekok untuk memberi undi kepada PH dalam PRN lepas. Kalau kerusi itu ditandingi UMNO maka mereka suka, 6 atau 7 dari 10 orang bersedia beri undi.
“Sebaliknya kami temui pengundi tegar UMNO di kawasan ditandingi PH, hanya 3 – 4 sedia memberi undi (jika PH bertanding). Ini ujian UMNO di Pulai dan Simpang Jeram untuk memastikan pengundi mereka memberi undi tanpa berbelah bahagi,” katanya.
Bagaimanapun, kata Dr Yusri, tinjauan Ilham di lapangan menunjukkkan jentera UMNO dan PH bekerjasama dengan baik.
Cuma katanya, semua itu hanya akan menjadi benar benar benilai sekiranya calon yang mereka bantu menang dalam PRK kali ini.