Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali lagi memainkan isu kalimah Allah.
Tegas
Menteri Dalam Negeri (KDN) itu, tindakan Muhyiddin dalam satu ceramah di Kapar,
Klang yang melempar fitnah dengan mendakwa cara kerajaan menangani isu kalimah
itu diterajui oleh bukan Islam jelas tidak menghormati nasihat Majlis
Raja-Raja.
Presiden
parti Bersatu itu juga tegasnya melanggar larangan pihak berkuasa supaya semua
ahli politik tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
"Nasihat
Majlis Raja-Raja adalah isu ini tidak lagi dimainkan dan tidak boleh
dipolitikkan. Kedegilan Tan Sri Muhyiddin amat dikesali, terus mainkan isu 3R
di sebalik nasihat Raja-Raja Melayu.
"Kalau
sebagai pemimpin politik Melayu Islam tidak boleh menghormati nasihat
raja-raja, percayalah orang macam ini tidak akan menghormati sama sekali
rakyatnya sendiri," katanya Saifuddin dipetik dalam sidang akhbar di
pejabat KEADILAN Kedah di Alor Setar.
Mengulas
lanjut Saifuddin turut menganggap tindakan Muhyiddin tersebut hanya mencetuskan
keresahan dalam kalangan rakyat terutama ketika PRN ini.
"Isu
ini kalau terus ditiup dan dimainkan sentimennya akan memberi keuntungan
politik kepadanya, Muhyiddin jelas tidak berniat untuk mengharmonikan kehidupan
dan kerukunan hidup antara rakyat berbilang kaum.
"Dia
cuma mahu tonjolkan diri sebagai jaguh yang membela umat Islam," katanya.