Kemasukan pelaburan asing yang mencuran curah ke Malaysia sejak kebelakangan ini memberi peluang kepada pelajar membina kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam sesi dialog Temu Anwar yang diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kuantan, petang tadi.
Katanya, bukan sahaja pelabur industri biasa yang datang malah orang paling kaya di dunia dengan teknologi masa hadapan pun yakin untuk membuka pejabat syarikat bagi rantau Asia Tenggara di negara ini
Hal itu, katanya, petanda anak muda akan mudah untuk mencari rezeki dalam industri berteknologi tinggi pada masa hadapan.
"Elon Musk, orang paling kaya di dunia. Semua negara cuba pujuk dia datang melabur. Bulan lalu dia beitahu, dia nak bercakap dengan Perdana Menteri Malaysia.
"Saya kata, kamu dialu alukan di Malaysia dan sebagainya (dalam sidang video berkenaan). Terus ada keputusan jadikan Cyberjaya di Selangor Ibu Pejabat Tesla (rantau Asia). Itu bulan lalu.
"Minggu lalu, pengurus dia bagi rantau Asia beritahu dia dah beli bangunan besar di Cyberjaya dan sedang diubah suai dan dia minta saya rasmikan awal Oktober. Saya beri satu syarat, Elon Musk datang dan rasmi bersama saya.
"Apa kesan bagi anak anak? Maknanya di IKM, Giat MARA ada peluang lebih baik. Itu kerja saya dan kawan kawan (Menteri). Kalau bawa pelabur besar maka ini peluang pekerjaan lebih baik, tak malap seperti sekarang," katanya.
Begitu juga, kata Anwar, syarikat automobil terbesar di dunia, Geely tang telah pun menambah pelaburannya di Malaysia sebanyak RM10 bilion bagi membesarkan kilang Proton di Tanjung Malim.
Hal itu katanya, akan pasti memudahkan anak muda yang mempunyai kelulusan dalam bidang teknikal untuk mendapatkan pekerjaan.
"Apa relevannya? Ia boleh beri peluang dan ruang anak anak bekerja. Kalau tanya saya apa ertinya jawatan, erti kerjasama PH, BN, GPS dan GRS ialah kerana nak selamatkan negara.
"Jangan bagi orang curi wang, kita bawa pelabur masuk beri pekerjaan yang baik kepada anak anak kita," ujarnya.
Dalam ceramah itu, Anwar turut menyatakan rasa kecewa kerana sesetengah golongan yang lebih dewasa terpengaruh kepada propaganda politik murahan yang dimainkan pihak pembangkang.
"Ibu bapa kadang kadang terheret. Dia fikir ada kaum nak telan kita, ada Kristian nak ambil negeri ini, Cina nak kuasai negara ini. Kalau kita lantik pemimpin yang bodoh, yang korup, orang lain senang ambil kuasa.
"Tetapi kalau kita lantik pemimpin yang cerdik, jangan bimbang, jangan terbawa dengan propaganda ini tak menguntungkan kita.
"Kita mahu anak anak faham, belajar rajin, jadikan Malaysia negara nombor satu di Asia tenggara,
"Dalam Ekonomi MADANI yang kita luncurkan, beri tempoh 5-6 tahun kita (Malaysia) nak jadi top 30 di dalam dunia," katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Tambun itu menyeru agar pelajar atau anak muda mengutamakan budaya membaca.
Katanya, melihat kandungan media sosial atau video pendek 1 - 2 minit tidak akan membantu untuk mematangkan fikiran anak muda.
Sebaliknya dengan membaca bahan bacaan, akan menjadikan mereka bijaksana dan tidak mudah tertipu dengan adu domba perkauman serta agama sempit yang menyukarkan kemajuan negara.