Muhyiddin tidak hormat nasihat Raja-Raja - Saifuddin


 Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sekali lagi memainkan isu kalimah Allah.



Tegas Menteri Dalam Negeri (KDN) itu, tindakan Muhyiddin dalam satu ceramah di Kapar, Klang yang melempar fitnah dengan mendakwa cara kerajaan menangani isu kalimah itu diterajui oleh bukan Islam jelas tidak menghormati nasihat Majlis Raja-Raja.



Presiden parti Bersatu itu juga tegasnya melanggar larangan pihak berkuasa supaya semua ahli politik tidak menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.



"Nasihat Majlis Raja-Raja adalah isu ini tidak lagi dimainkan dan tidak boleh dipolitikkan. Kedegilan Tan Sri Muhyiddin amat dikesali, terus mainkan isu 3R di sebalik nasihat Raja-Raja Melayu.

"Kalau sebagai pemimpin politik Melayu Islam tidak boleh menghormati nasihat raja-raja, percayalah orang macam ini tidak akan menghormati sama sekali rakyatnya sendiri," katanya Saifuddin dipetik dalam sidang akhbar di pejabat KEADILAN Kedah di Alor Setar.



Mengulas lanjut Saifuddin turut menganggap tindakan Muhyiddin tersebut hanya mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat terutama ketika PRN ini.



"Isu ini kalau terus ditiup dan dimainkan sentimennya akan memberi keuntungan politik kepadanya, Muhyiddin jelas tidak berniat untuk mengharmonikan kehidupan dan kerukunan hidup antara rakyat berbilang kaum.



"Dia cuma mahu tonjolkan diri sebagai jaguh yang membela umat Islam," katanya.