KJ SEBENARNYA SUDAH TOLAK, TAPI MUHYIDDIN MINTA FIKIR LAGI

 

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memberi bayangan tidak akan menerima pelawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menyertai BERSATU.

Bercakap ketika podcast ‘Keluar Sekejap’, bekas Menteri Kesihatan itu mengakui Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU meminta beliau untuk berfikir lebih lanjut sejurus menyuarakan pandangannya mengenai tawaran dikemukakan.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas mengenai jawapan diberikan kepada Muhyiddin meskipun ia kelihatan menjurus ke arah menolak pelawaan Ahli parlimen Pagoh itu.

“Saya fikir lagi (pelawaan dibuat Muhyiddin)…saya pun sudah bersetuju untuk berfikir lagi dan saya pun minta beliau (beri) sedikit masa.

“Bagi saya ada (jawapan muktamad mengenai pelawaan itu sudah ada) tetapi beliau (Muhyiddin) minta supaya saya berfikir lagi.

“Dewan Undangan Negeri (DUN) pun belum dibubarkan, jadi ada sedikit masa lagi untuk apa-apa berlaku.

“Bagi saya ada kata putus, tetapi apabila pemimpin yang saya sanjungi minta saya fikirkan lagi. Kita fikirkan lagilah,” katanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

Semalam, sumber Perikatan Nasional (PN) memaklumkan Khairy tidak akan menyertai mana-mana parti politik termasuk BERSATU mahu pun menubuhkan parti baharu dalam waktu terdekat.

Ia susulan pertemuan Khairy dengan Muhyiddin yang dikatakan berlangsung di kediaman Perdana Menteri kelapan itu di Bukit Damansara, di sini, kelmarin.

Muhyiddin pada Mei lalu, mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu. 

Beliau dipetik berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuh kedudukan BERSATU, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1117361

 


No comments: