Oleh FAZLI
RADZI / February 24, 2022
Empat entiti sedang
sohor kini di Twitter ekoran pengakuan menggemparkan oleh
bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner berkaitan
pembelian rumah di London, dipercayai menggunakan wang 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Setakat jam 10.30 pagi
tadi, “Rohana” mencatatkan lebih 23,000 ciapan manakala “1MDB” menjadi topik
lebih 45,000 ciapan.
Dalam tempoh sama,
“Astro” dan “Bank Negara” masing-masing merekodkan lebih 180,000 dan 9,000
ciapan.
Rohana merujuk kepada
Datuk Rohana Rozhan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings
Bhd.
Leissner, 52, dalam
keterangannya di Mahkamah New York pada 21 Februari lalu memberitahu ada
membelikan Rohana sebuah kediaman bernilai AS$10 juta (RM41.9 juta) di London.
Pendedahan itu dibuat
selepas pendakwa raya, Drew Rolle bertanyakan sama ada Leissner memberi Rohana
sejumlah wang yang diterimanya daripada 1MDB).
Kata Leissner lagi
dipetik Agensi, pembelian itu dibuat pada 2013 selepas wanita
tersebut mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.
“Rohana tidak gembira
dengan keputusan saya menamatkan hubungan kami bagi membolehkan saya bersama
dengan bakal isteri, Kimora,” katanya merujuk kepada isterinya, Kimora Lee
Simmons, yang juga bekas model antarabangsa.
Leissner ketika ditanya
Rolle mengenai hubungannya termasuk bersama Rohana, turut memberitahu hubungan
mereka berlanjutan selama 10 tahun sejak 2003.
Selain itu, dia juga
memberitahu juri bahawa Goldman Sachs perlu memastikan peluang pekerjaan bagi
tiga anak bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak di bank itu
sebagai balasan kepada tawaran perniagaan yang lumayan.
Leissner berkata, pada
2009, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng memberitahunya Najib akan
datang ke New York untuk melawat anak-anaknya di Amerika Syarikat (AS) sempena
cuti hari kesyukuran.
Ketika itu, Jho Low atau
nama sebenarnya , berpendapat ia adalah peluang yang baik bagi bekas Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO), Lloyd Blankfein dan Najib bertemu berhubung promosi
urus niaga bon.
Dia kemudian
memberitahu, Ng memaklumkan Najib mahu anaknya bekerja di Goldman selepas
pertemuan dengan Jho Low.
Dedah Leissner lagi, Ng,
yang pergi ke New York kemudian, memaklumkan dia sudah bertemu dengan anak-anak
Najib sendiri.
Sebelum ini, Ng mengaku
tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan
melanggar undang-undang antirasuah membabitkan 1MDB.
Leissner pada 2018
mengaku bersalah atas tuduhan sama dan bersetuju untuk bekerjasama membantu
siasatan kerajaan, lapor Agensi lagi.
Dalam keterangan di
Mahkamah New York itu juga, Leissner memberitahu Bank Negara Malaysia (BNM)
membenarkan pemindahan keluar negara wang sebanyak AS$1 bilion daripada 1MDB
kepada PetroSaudi International (PSI), selepas suami gabenor BNM ketika itu,
Zeti Akhtar Aziz disogok supaya ia terlaksana.
Difahamkan, AS$D1 bilion
itu termasuk AS$700 juta bagi anak syarikat PSI, Good Star Ltd yang didakwa
dikawal oleh ahli perniagaan dikehendaki, Jho Low.
Leissner mendakwa
hubungannya dengan Rohana berlanjutan antara 2003 hingga 2013.