Selepas Khairuddin, kini Hashim Jasin pula gesa Pas dan Umno henti serang sesama sendiri.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyeru kepimpinan parti itu dan Umno supaya henti menyerang sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Hashim berharap semangat Muafakat Nasional (MN) yang terbina sebelum ini dipertahankan demi kepentingan ummah di masa hadapan.
“Nampaknya pertembungan tiga penjuru tak dapat dielakkan. Saya seru kedua-dua pihak henti serang menyerang antara dua parti.
“Fikir panjang, kita ke hadapan, kita perlu berpadu.Kalau ada sedikit terluka lupakan,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada 28 Jan lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumpamakan Umno seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.
Dia berkata demikian ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar MN yang dirintis selepas pilihan raya umum lalu.
“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.
“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.
“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata anggota parlimen Marang.
Dalam pada itu, Hashim mengingatkan pemimpin Umno dan PAS supaya sedar bahawa musuh utama mereka adalah Pakatan Harapan (PH).
Oleh itu, mereka perlu menganggap pertembungan dalam PRN Johie sebagai “pertanding adik-beradik” yang tidak perlu membawa kepada permusuhan.
“Anggaplah ini pertandingan adik-beradik musuh utama ada kita ada di hadapan.
“Hentilah serang menyerang sesama sendiri,” katanya lagi.