Bantuan banjir: Penerima sudah diberi pilihan ambil tunai ikut 'janji temu' atau EFT ke akaun bank


 

Kesesakan yang timbul di pusat pemberian Bantuan Selangor Bangkit (BSB) akibat banjir besar Disember tahun lalu di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang semalam tidak berlaku sekiranya penerima datang mengikut temu janji.

Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesesakan tersebut terjadi akibat orang ramai datang terlalu awal daripada masa serahan.

"Saya mengambil maklum respons balas ramai tentang pemohon bantuan banjir yang beratur panjang

"Pihak PDT Klang memberi pilihan kepada pemohon sama ada menerima tunai atau secara EFT ke dalam akaun bank mereka.

"Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan yang panjang di tempat yang disediakan.

"Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih hadir lebih awal berbanding masa ditetapkan melalui SMS yang mereka terima, menyebabkan pemohon hadir beberapa jam lebih awal daripada waktu janji temu," katanya.

Tambah MB, untuk penerima yang belum menerima BSB dinasihatkan agar mereka datang berdasarkan janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

"Saya mohon agar pemohon yang belum menerima BSB menepati waktu janji temu yang ditetapkan melalui SMS yang dikirim kepada mereka. Hadirlah pada hari dan masa yang diberi.

"InsyaAllah dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak, penyaluran BSB akan menjadi lebih lancar dan selesai mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, MB dalam sidang medianya menetapkan BSB akan selesai diagihkan pada 28 Februari untuk semua mangsa mangsa banjir yang layak