'Perjuangan kita angkat martabat manusia' - Dr Wan Azizah

 




POSTED BY AMIR WRLR


Perjuangan KEADILAN sejak tertubuh lebih dua dekad amat berbeza daripada lain lain parti.


Menurut Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, parti keramat tersebut lahir daripada penganiayaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka oleh itu sepanjang perjuangannya KEADILAN akan memastikan martabat rakyat terbela dan diangkat.


Tegas Dr Wan Azizah, semangat itulah yang perlu dipupuk agar rakyat yakin dengan perjuangan KEADILAN dan memberi peluang kepada pemimpinnya memegang kuasa.


Katanya, pengorbanan ahli atau sukarelawan KEADILAN dalam membantu mangsa mangsa banjir tempoh hari amat dihargai dan diharap akan menjadi perhitungan rakyat dalam memilih wakil mereka pada masa hadapan.


"Kita rasa sungguh berbangga anggota KEADILAN sanggup berkorban untuk menyelamatkan orang Malaysia tak kira bangsa dan agama.


"Ini yang penting, semangat yang kita mahukan. Parti KEADILAN kita asaskan sebagai parti pelbagai kaum. Tiap tiap bangsa diraikan. Kita mahu keadilan untuk semua.


"Kita parti semua bangsa, semua agama mahukan kebaikan. Dan selama ini Anwar Ibrahim berkorban, mungkin tidak dapat jawatan tetapi pengorbanannya untuk negara. Meneruskan perjuangan mengangkat martabat manusia," katanya.


Menurut Ahli Parlimen Pandan itu lagi, pernah pada satu tahap beliau tidak sanggup menghadapi gejolak politik yang jauh berbeza daripada kerjaya awalnya sebagai seorang doktor.


Namun kunjungan beliau melawat Anwar di penjara menguatkan semangatnya. Salah satu kata kata itu adalah tekad Anwar untuk membantu lebih gigih kaum minioriti jika keluar dari penjara.


Justeru, pesan Dr Wan Azizah, parti perlulah lebih banyak melahirkan ahli ahli yang giat menolong rakyat tidak bernasib baik yang akan menarik minat rakyat dan mengangkat imej KEADILAN sebagai parti yang berwibawa untuk diangkat sebagai kerajaan.


"Dalam politik Malaysia kita mesti menang pilihan raya. Akar umbi adalah penting untuk kita menangkan calon kita. Ini salah satu apa yang kita mahu. Kita menang untuk tolong rakyat," katanya lagi.


Dalam majlis itu, Dr Wan Azizah menyampaikan penghargaan kepada 20 sukarelawan masyarakat India yang membantu mangsa mangsa banjir khususnya di Shah Alam dalam malapetaka 18 hingga 22 Disember 2021 lalu.