Proses pemilihan KEADILAN yang dijadual berlangsung pada April ini
akan menggunakan beberapa kaedah baharu dalam penambahbaikan yang dicadang dan
telah dipersetujui oleh parti.
Menurut salah seorang Ahli Jawatankuasa Sistem Pemilihan KEADILAN,
Nik Nazmi Nik Ahmad, proses pemilihan sejak 2014 'satu anggota satu undi' untuk
semua jawatan akan ditambahbaik dan terhad kepada jawatan jawatan utama parti
sahaja
"Banyak parti yang buat (sistem) satu ahli satu undi seperti
KEADILAN tak ada yang benarkan undi untuk semua jawatan. Kalau wanita muda
bawah 35 tahun mereka akan ada 6 set undi daripada Angkatan Muda KEADILAN
Cabang, Wanita Cabang, Cabang, kemudian AMK Pusat, Wanita Pusat dan Majlis
Pimpinan Pusat (MPP).
"Jadi memang sistem itu menggalakkan pengunaan cai dan tidak
praktikal. Terlalu banyak dan mereka mengundi kerana nak habiskan senarai. Dia
tak kenal pun calon," katanya.
Oleh itu, kata Nik Nazmi, boleh dilihat dalam pemilihan lalu calon
Naib Presiden Nurul Izzah Anwar mendapat 90,000 undi sebagai calon teratas
tetapi apabila pergi kepada MPP, undi yang paling tinggi adalah Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebanyak 60,000 undi.
"Beza antara antara Nurul dan Amir ialah 30,000 yang undi.
Ahli mengundi di atas (senarai) sahaja dan tidak pergi undi MPP
"Jadi sebab itu parti setuju kali ini satu anggota satu undi
hanya untuk jawatan kanan di MPP, iaitu Presiden, Timbalan dan Naib.
"Wanita sama, Ketua Wanita, Timbalan dan Naib. AMK pun sama.
Cabang kekal satu anggota satu undi," katanya dalam Majlis Penghargaan
Pimpinan Akar Umbi dan Sukarelawan Banjir KEADILAN di Shah Alam, semalam.
Tambah Nik Nazmi, MPP akan dipilih menerusi undi perwakilan di
kongres. Oleh itu, katanya perlu diselesaikan pemilihan Cabang dahulu dan
tentukan siapa perwakilan ke kongres. Perwakilan akan tentukan siapa jadi MPP,
MPP wanita dan MPP AMK.
Tegas Nik Nazmi, perlembagaan parti tidak menetapkan syarat satu
anggota satu undi, cuma yang ditetapkan adalah pemilihan parti mesti
dilaksanakan setiap 3 tahun.