Tindakan berterusan pihak polis memanggil untuk siasatan ke atas
peserta demonstrasi #TangkapAzamBaki sejak beberapa hari lalu menimbulkan tanda
tanya apakah keutamaan pihak berkuasa di Malaysia.Terbaru Presiden Amanah Mat
Sabu dan Ketua Pembangkang juga Presiden PKR Dato Seri Anwar Ibrahim di panggil
ke Bukit Aman untuk disiasat.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Manivanan Gowin, pihak polis seharusnya menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang telah pun dibuat beberapa laporan polis ke atas beliau terkait isu pemilikan sejumlah besar saham.
Namun dengan menyiasat penunjuk perasaan melaungan Azam berundur, katanya, hanya akan menyebabkan imej negara menjadi lebih buruk di mata dunia.
"Tindakan sepatutnya perlu dilakukan terhadap Azam Baki bukannya kepada aktivis. Mengapa yang tidak bersalah dalam melakukan rasuah pula disoal siasat, yang mempunyai kes dilindungi? Dalam sejarah Malaysia, ini bukan perkara baru, dah berlaku sejak 20 tahun dahulu.
"Tindakan ini sebenarnya menindas suara rakyat yang mahukan negara bebas rasuah. Sepatutnya pihak polis tangkap individu yang diperkatakan itu. Apa rasional soal siasat mereka (aktivis) ini? Ini tidak bagus untuk negara," katanya.
Tambah Manivanan, Malaysia tidak akan menjadi negara demokrasi maju dalam kalangan negara ASEAN dengan langkah ke belakang dalam kes Azam Baki.
Malah, katanya, pelabur asing juga khuatir untuk menanam modal di negara ini yang dilihat kabur undang undang dan penguatkuasaannya lewat kes Azam Baki.
"Saya rasa ini bukan satu langkah ke depan untuk satu negara yang maju. Negara maju perlu mempertahankan hak mana-mana pihak yang menyuarakan kesilapan ataupun kerakusan pihak yang salahguna kuasa dan rasuah, " katanya lagi.
Sehingga semalam, puluhan aktivis, ahli politik, NGO dan orang perseorangan telah disiasat kerana terlibat dalam tunjuk perasaan pada 22 Januari lalu. Malah sebelum itu beberapa ahli politik juga disiasat kerana menyertai konvoi serahan memorandum di Ibu Pejabat SPRM mendesak Azam Baki meletak jawatan.