Setpol PM lapor polis artikel fitnah diterbitkan 3 portal
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan polis terhadap tiga portal berita selepas didakwa membuat laporan serta menyiarkan berita palsu.
Mohammad Anuar Mohd Yunus berkata, laporan dibuat terhadap artikel di portal Agenda Daily yang bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, rayu jangan tarik sokongan” disiarkan pada 30 Jan 2022 dan diulang siar oleh The Malaysia Life dengan tajuk “Ismail rayu jangan tarik sokongan, bimbang jadi PM paling singkat dari Muhyiddin dan Dialograkyat.Blog bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” pada hari sama adalah tidak tepat dan palsu berkaitan Ismail.
Katanya, laporan itu mendakwa kononnya Ismail bimbang menjadi Perdana Menteri paling singkat berbanding Muhyiddin Yassin adalah fitnah.
“Laporan dibuat ketiga-tiga portal tersebut mengandungi kenyataan palsu dan adalah fitnah jenayah berkaitan kenyataan Perdana Menteri.
“Ketiga-tiga portal ini dengan sengaja dan tidak beretika telah membuat laporan yang salah dengan niat jahat dan mencemarkan nama baik Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Anuar berkata, laporan portal itu telah memanipulasi kenyataan sebenar Perdana Menteri ketika ditanya oleh pemberita pada satu majlis di Bera pada 29 Jan 2022 sedangkan pemberita dari ketiga-tiga portal tidak hadir pada majlis itu.
Katanya, laporan polis itu juga dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pemilik tiga portal berkenaan kerana memutar belitkan fakta, menyiar dan menyebarkan berita palsu sehingga menjatuhkan kredibiliti Ismail sebagai Perdana Menteri sehingga boleh menimbulkan kegusaran rakyat.
Anuar berkata, pihaknya tidak menuntut tiga portal itu tampil memohon maaf, sebaliknya mahu tindakan tegas dikenakan ke atas mereka.
“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan, kalau kita minta mereka minta maaf hari ini, esok mereka buat lagi.
“Hari ini kita buat laporan polis dulu lepas itu kita maklum kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.