Srikandi KEADILAN baru-baru ini menganjurkan bengkel penulisan
komunikasi khusus kepada pasukan penerangan parti pelbagai peringkat bagi
menghasilkan kenyataan media yang berkualiti.
Menurut Kaukus Srikandi KEADILAN, Raiyan Abdul Rahim, bengkel itu
dibimbing oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil melalui aplikasi
zoom.
"YB Fahmi berkongsi dengan peserta teknik dan perkara asas
mengenai penulisan kenyataan media.
"Melalui bengkel ini, peserta berpeluang mempelajari struktur
kenyataan media serta faktor-faktor penting yang perlu dititiberatkan dalam
menulis atau mengeluarkan kenyataan media.
"Menurut Fahmi, "amat penting untuk memupuk hubungan
dengan masyarakat tempatan dengan memberikan fokus yang lebih serta konsisten
kepada isu-isu lokal”," katanya dalam satu kenyataan.
Raiyan Abdul Rahim
Tambah Raiyan, peserta disarankan bahawa setiap kenyatan media
yang dikeluarkan mesti disertai isu-isu membantu rakyat.
Selain itu, katanya, Fahmi juga mendedahkan para peserta kepada
pelbagai jenis kenyataan media merangkumi kenyataan di media sosial yang
mendapat perhatian pengamal media seperti ciapan di Twitter dan status di laman
Facebook.
"Bengkel ini penting untuk wanita muda yang berminat dengan
politik. Saya harap wanita muda akan terus peka dan cakna isu-isu komuniti, dan
terus menyuarakan pendapat mereka, demi mengetengahkan agenda rakyat.
"Tahniah kepada Wanita Muda dan Srikandi KEADILAN yang hadir.
Semoga ilmu yang dipelajari dapat memberi manfaat kepada semua," katanya
lagi.