'Peraturan 80 orang Ahli Parlimen masuk dewan waktu sebelum divaksin, tak relevan'

 


 Perkara mudah jangan disulitkan. Jika agamawan pun bercakaran sesama sendiri, saling melondeh satu sama lain. Orang awam memerhati. Kita mahu Allah sayang waktu yg sama Kita mahu sesama manusia saling meyayangi.....

 

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 26 Julai ini tidak wajar dihadkan kehadiran 80 Ahli Parlimen sahaja sedangkan kesemua anggota dewan telah pun menerima 2 dos vaksin Covid 19.



Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata peraturan tersebut tidak wajar dilaksanakan pada sesi kali ini.



Katanya, pada sidang tahun lalu Pakatan Harapan menyokong peraturan itu kerana tidak banyak isu mendesak yang perlu dibangkitkan, terutama terkait Covid 19, penderitaan rakyat, kematian dan sebagainya yang telah pun ditegur secara spesifik dalam kenyataan Majlis Raja raja Melayu pada Jun lalu.



"Beberapa bulan lalu keadaan tak kritikal seperti sekarang. Waktu ini kita nampak Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja menetapkan (dalam kenyataan yang dikeluarkan), perkara 6, 7, 8 itu, satu rujukan (mengadakan sidang Parlimen) yang tidak boleh kita kompromi. Sebagai contoh membincangkan isu Covid dengan semaksimum mungkin dan menyesaikan masalah dalam dewan.



"Kalau tengok perkara 6 dan 7 itu, persoalan keabsahan kerajaan yang mewajibkan kehadiran semua anggota (ditekankan). Jelas dalam peruntukan Perlembagaan Perkara 150, kita tidak boleh berkompromi dari segi menghadirkan diri untuk meluluskan Ordinan Darurat.



"Keabsahan kerajaan pula telah dititahkan dengan ungkapan 'untuk mendapatkan kerajaan yang stabil'.



"Selepas perkara 8, Majlis Raja-raja bertitah agar segera mengadakan persidangan Parlimen di bawah peraturan 11 yang jelas di bawah 11.2 dan 3 kuasa Speaker untuk panggil sidang.



"Tetapi kita sekarang bincang pasal mesyuarat khas, bukan sidang Parlimen. Maka kita lihat (dalam jadual mesyuarat) hanya ada pembentangan menteri. Syok sendiri, bercakap. Sedangkan rakyat makin banyak kena Covid, banyak yang meninggal," katanya dalam forum maya Borak Dahsyat: "Kerajaan Gagal, Parlimen Diperalat?", malam tadi.



Menyentuh hujah mengatakan bahawa semua Ahli Parlimen boleh masuk sekiranya pengundian dijalankan Abdullah membidas hujah tersebut.



Katanya, menghadkan hanya 80 orang lebih kepada taktik untuk menghalang sebarang usul menukar Speaker dan sebagainya daripada dilakukan, yang hanya boleh dibuat dengan korum penuh dewan.



"Memang bila mengundi semua boleh masuk, bila bahas 80 orang saja masuk. Apa punya sistem hampeh, menjelikkan.



"Had 80 orang ni yang saya nampak supaya tidak ada usul dibuat untuk menukar Speaker sebagai contoh. Anggota pula ditetapkan 51% milik kerajaan dan 49% pembangkang, mana boleh (pembangkang) menang



"Jangan lupa tuanku juga menitahkan diadakan persidangan penuh. Oleh itu, kita tidak boleh menyekat bilangan kerana hak Ahli Parlimen berada dalam posisinya.



"Dua minggu sekali kita buat ujian saringan Covid. Dalam dewan pun cukup SOP. Maka tidak relevan 80 orang. Sekarang banyak isu. Pesakit Covid ratusan ribu, 7,000 meninggal dan banyak rakyat bunuh diri. Maka perlu dibenarkan Ahli Parlimen menyuarakan keresahan rakyat di kawasan masing-masing.



"Itu tanggungjawab Ahli Parlimen. Kenapa takut sangat. Bacul," sinisnya.



Selain itu, Abdullah juga menyarakan agar Parlimen mengadakan sesi bahas seperti biasa. Perbahasan katanya penting sebagai semakan dan memperbaiki sesuatu usul sebelum diundi.



"Debat, perlu ada. Beli vaksin belanja berbilion maka perginya? Jumlah (populasi) yang divaksin baru lebih sikit 10%. Kita nak tanya sebab orang mati hari-hari, positif Covid.



"Kita nak jadi apa? Tak kan kita biarkan sahaja kealpaan dan keborokan berterusan? Rakyat makin lama hidup susah akhirnya mencuri serta negara huru hara. Mahu sampai ke tahap itu kah?



"Sebab itu perbahasan perlu diadakan. Kita negara Raja Berpelembagaan. Agong dah beri titah, tidak boleh kita nafikan titah yang jelas dan terang untuk mengadakan persidangan Parlimen.



"Persidangan, bukan mesyuarat khas. Kalau Speaker tak mahu dengar titah Majlis Raja-raja maka tolong letak jawatan," katanya lagi.