Kerajaan PN tidak dilantik melalui PRU, apa masalah dijatuhkan di luar PRU?

 


Kenyataan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengecam Pembangkang kononnya mahu menggunakan proses persidangan Parlimen 26 Julai ini untuk mengambilalih kuasa dilihat amat melucukan.



Menurut pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, persoalan yang harus dijawab terlebih dahulu oleh PN adakah kerajaan semasa diangkat sebagai pemerintah melalui proses Pilihan Raya Umum (PRU) atau melalui 'pintu belakang'.



Bagi beliau, sebaiknya ahli politik pemerintah mencermin diri mereka sendiri sebelum mengeluarkan ungkapan 'Pembangkang jangan menjatuhkan kerajaan PN dan bersabar menunggu PRU 15'.



"Kalau sekarang dikatakan Parlimen jangan dijadikan medan dan kalau nak berkuasa tunggulah PRU 15, soalnya kita tahu siapa yang menjadi kerajaan tanpa PRU.



"Rasanya kalau sekiranya mahu ada kerajaan baru tanpa PRU, boleh juga. Saya tak fikir Ahli Parlimen yang ada 220 orang ini tidak mempunyai kesedaran.



"Saya rasa kalau mereka diberikan ruang untuk menentukan siapa lebih kompeten mentadbir negara, mereka tahu. Cuma peluang tidak diberikan," katanya dalam forum maya Wacana Sinar Harian: "Buka Parlimen: Kuasa atau Rakyat?", malam tadi.



ADUN Tebing Tinggi itu juga menjelaskan persoalan bahawa Parlimen selama ini tidak pernah digunakan oleh anggota pembangkang untuk agenda peribadi, tetapi yang jelas mempunyai agenda peribadi adalah pihak yang menyekat berulang kali Parlimen daripada dibuka.



"Sekarang soalnya telah banyak kali (Parlimen) disekat dan akhirnya dibuka juga. Kita tahu siapa yang tidak meletakkan kepentingan negara atas kepentingan peribadi.



"Ahli Parlimen tahu tugas mereka dan berilah peluang mereka menjalankan tugas," katanya lagi.