Impian besar Pas sejak ditubuhkan
adalah mendirikan sebuah negara Islam walaupun tidak pasti negara mana yang
dijadikan rujukan parti itu setelah berjaya membentuk kerajaan dan menyusun
pentadbiran kerajaan.
Seperti
mudah difahami, Pas sentiasa mempunyai idea yang simplistik dalam menguruskan
negara. Bagi membuktikan kemampuan Islam mengurus pentadbiran negara, cukup
bagi Pas dengan memetik pelbagai babak-babak yang berlaku dalam sejarah Islam.
Kemampuan
kerajaan Islam dahulu menguasai dua pertiga dunia juga sering menjelma sebagai
ingatan Pas kepada sekalian ahlinya tentang potensi agama ini muncul sebagai
satu kuasa dunia. Ini bukan sesuatu yang janggal. Memang sejarah Islam sentiasa
menjadi penghayatan kepada semua gerakan Islam.
Sama ada konteks kerajaan Islam
dahulu dengan sekarang masih sesuai untuk dijadikan model atau tidak, hal ini
jarang-jarang dibincangkan dalam kalangan gerakan Islam.
Sebaliknya
apa yang lebih menguasai minda dan fikiran mereka adalah semangat Islam
semata-mata tanpa sebarang wacana yang lebih terfokus, mendalam dan kritikal.
Tetapi
kebanyakan gerakan Islam termasuk Pas percaya bahawa sejarah kepimpinan Islam
adalah acuan yang mesti dipraktikkan oleh mana-mana gerakan politik Islam yang
bercita-cita menubuhkan sebuah negara. Mungkin lebib sedap disebut daulah
kerana lebih Arab dan berbaur haraki.
Bagi
Pas, sebuah pemerintahan Islam yang tulen mesti ditubuhkan sebagai pesaing
kepada kerajaan lain yang berideologi kapitalis, liberal, komunis, sosialis dan
sebagainya.
Program-program
anjuran Pas juga tidaklah begitu cenderung untuk membincangkan secara terbuka
konsep-konsep begini melainkan akan berpenghujung kepada tanggapan negatif yang
mudah terhadap sekularisme, liberalisme dan pelbagai ideologi lain.
Masalah sekarang adalah
kebanyakan kitab fiqh tidak banyak membincangkan soal pentadbiran negara dalam
konteks moden yang mana tidak boleh meminggirkan soal demokrasi, Parlimen, hak
asasi manusia dan sebagainya. Sekurang-kurangnya masalah ini telah disinggung
lebih awal oleh Hamka dalam bukunya Negara Islam.
Tentunya
apabila Pas bercakap soal merebut kuasa, perkara yang mereka tegaskan adalah
penghapusan sumber-sumber maksiat dan dosa besar seperti kasino, premis nombor
ekor, pusat karaoke, rumah urut, jualan arak dan sebagainya.
Pas
juga hingga kini masih menjadikan Kelantan yang memiliki populasi Melayu-Islam
yang besar sebagai model pentadbiran jika berjaya menguasai Putrajaya.
Pemimpin
dan pemidato Pas yang sudah tua atau yang setahun jagung sering menggunakan
tindakan almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang memindahkan gaji para penjawat awam
di negeri itu daripada bank konvensional kepada bank Islam sebagai kesungguhan
Pas memastikan kewangan lebih bersifat Islamik. Cerita itu tentu masih terus
diulang-ulang sehingga kini.
Pada
tekak pemimpin Pas, mengubah negara menjadi begitu mudah dengan pendekatan yang
diidentitikan dengan nama ‘Islam’. Maka demikianlah dengan mudahnya mereka
menganggap cukai termasuklah GST sebagai satu kezaliman pemerintah kepada
rakyat yang susah.
Pas
menganggap kerajaan sepatutnya menggunakan sumber kekayaan negara seperti
petroleum untuk membantu rakyat. Kononnya begitulah caranya Islam memerintah.
Tatkala
dilanda bibit-bibit perpecahan, Pas pula disogokkan dengan kebenaran untuk
membawa Rang Undang-Undang 355 yang turut disalah anggap oleh pemimpin Pas
sebagai hukuman hudud.
Dalam
benak sekalian ahli dan pemimpin Pas, sistem perundangan Islam adalah umpama
kayu ajaib yang mampu memulihkan masalah negara dengan sedikit bacaan jampi
serapah dan hayunan kayu.
Doktrin
‘Islam adalah penyelesaian’ memang dianggap mudah oleh Pas. Samalah seperti
anggapan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang percaya masalah ekonomi boleh
selesai dengan memilih Islam.
Malangnya
selepas diuji Allah apabila Pas mendapat kuasa dengan berkomplot bersama
sekumpulan pengkhianat, maka tertubuhlah sebuah kerajaan tebuk atap dan pintu
belakang.
Pada
awal penubuhan kerajaan, Pas dengan bangganya menganggap bahawa kerajaan ini
sebagai kerajaan Melayu-Islam yang akan memartabatkan agama Islam dan maruah
bangsa Melayu.
Namun
selepas setahun penubuhan, seperti tidak kelihatan di manakah keunggulan
pentadbiran Melayu-Islam yang dicanang-canang oleh Pas. Ahli-ahli Pas juga
nampaknya seperti tidak keruan untuk membela para pemimpin mereka yang kini
merupakan sebahagian daripada anggota kerajaan.
Suara-suara
perjuangan RUU 355 juga semakin malu-malu disebut atau dilaungkan oleh Pas dan
Harakah.
Bukan
sahaja di persekutuan Pas tidak mampu menjadi nilai tambah yang berkesan kepada
kerajaan, hatta di Kelantan juga Pas seperti kehilangan punca.
Konsep
pentadbiran Membangun Bersama Islam juga tidak kelihatan malah untuk
menyediakan kemudahan asas seperti air bersih dan sempurna kepada sekalian
penduduk negeri itu juga mengambil masa puluhan tahun.
Pengakuan
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man tentang perbezaan semasa parti itu
menjadi pembangkang dan selepas menjadi kerajaan sudah cukup menjelaskan sikap
hipokrit atau munafik para pemimpinnya.
Tanpa
berselindung, beliau sendiri mengakui bahawa desakan seperti RUU355 yang dibawa
oleh Pas dahulu hanyalah dibuat kerana mereka merupakan parti pembangkang.
Seperti
mengakui perjuangan itu dibuat tanpa menggunakan otak, Tuan Ibrahim berkata,
kerja pembangkang mudah: desak sahaja tanpa perlu memahami prosedur dan aturan
kerana mereka pembangkang.
Demikianlah
cara Pas berjuang. Alasan yang digunakan untuk berdalih cukup mudah. Begitulah
rendahnya juga mereka meletakkan kedudukan Islam dalam perjuangan selama ini.
Pas
juga kelihatan tidak mampu untuk menjadi suara penting dalam kerajaan apabila
tidak banyak kepentingan umat Islam diperjuangkan. Hatta isu kematian anggota
bomba, Allahyarham Mohd Adib juga dibiarkan senyap begitu sahaja walaupun
dahulu mereka menganggap isu itu sebagai menyentuh sensitiviti dan kepentingan
umat Islam.
Sepanjang
PKP berlangsung, dengan wujudnya tren bunuh diri, keganasan domestik, Pas juga
gagal berperanan penting sebagai kerajaan. Siti Zailah Mohd Yusoff yang
merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang
dahulunya cukup lantang menyentuh isu aurat, kekeluargaan juga sunyi sepi
daripada memberikan jalan penyelesaian mengikut panduan Islam kepada masalah
yang dihadapi rakyat ketika ini.
Jika
tidak mampu menjadi salah satu komponen penting kepada kerajaan, paling tidak
bersuaralah dengan lantang untuk menegur kerajaan. Malangnya tulisan Abdul Hadi
Awang pula lebih cenderung menyalahkan orang lain daripada menegur kerajaan.
Sikap
dan pendirian Pas dahulu yang kononnya bersedia untuk ditegur selepas menjadi
pemerintah, rupa-rupanya hanyalah omongan semata-mata.
Membaca
tulisan Abdul Hadi Awang yang lebih sudu dari kuah memainkan peranan
pertahankan kerajaan, terasa seolah-olah beliau kini merupakan RTM dan TV3 yang
cukup aktif membawa propaganda kerajaan.
Lebih
jauh lagi, melihat Abdul Hadi kini, seolah-olah melihat satu ulangan kepada
serangan beliau kepada agamawan yang pro-kerajaan dahulu yang pernah dituduh
sebagai ‘syaitan bisu’.
Sama ada Abdul Hadi kini sedang menelan sumpahan ‘syaitan bisu’ atau tidak, biarlah waktu yang menentukan. Tetapi kesimpulannya, Pas merupakan contoh kegagalan parti politik Islam dalam mengemukakan versi Islam yang memerintah.