Parlimen bukan setakat semak, imbang tetapi institusi kuatkuasakan pertanggungjawaban

 


Parlimen sering kali disebut sebagai tempat untuk semak dan imbang perjalanan pentadbiran kerajaan.


Oleh yang demikian, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi kesempatan kepada anggota Parlimen mencelah dalam sesi taklimat menteri dalam mesyuarat khas Dewan Rakyat bermula 26 Julai ini.


Bagaimanapun, bagi pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, Parlimen bukan sekadar tempat semak dan imbang tetapi merupakan sebuah institusi menguatkuasakan pertanggungjawaban kepada kerajaan yang memerintah.


"Kita terlepas pandang isu atau peranan Parlimen sebagai institusi yang menguatkuasakan pertanggungjawaban. Ini nampaknya tidak disentuh langsung, hanya check and balance yang (sering ditimbulkan tetapi) merupakan sebahagian kecil dari Parlimen.


"Sebenarnya untuk menangani langkah-langlah menguruskan pengawalan Covid, banyak perkara yang kita lihat agak jelas dari apa yang berlaku. Nampak gayanya masalah ini boleh selesai dengan hanya menggunakan kaedah atau undang-undang yang ada (tanpa darurat)," katanya dalam forum maya Wacana Sinar Harian: 'Buka Parlimen: Kuasa atau Rakyat?', malam tadi.


Mengenai peranan darurat apakah telah berjaya atau hanya langkah politik, Dr Aziz memberi contoh pelaksanaan moratorium pinjaman bank, yang mana kerajaan tidak memaksa bank atau menggunakan kuasa darurat untuk melegakan rakyat.


"Kalau kita lihat keenganan (bank) atau kegagalan moratorium sebagai contoh, atau penjelasan yang tidak memuaskan dari kerajaan, bermakna di situ darurat yang dikatakan spesifik untuk menangani Covid 19 tidak berlaku.


"Jadi soalan besar yang perlu dijawab adakah selama ini betul-betul darurat ini untuk Covid atau pun politik? Ini yang berlegar dan ditanyakan di luar sana.


"Jadi kerajaan sendiri tidak melakukan atau mengambil langkah drastik (menggunakan kuasa darurat), walaupun telah ada darurat. Maknanya secara langsung mereka membenarkan dakwaan darurat ini tidak perlu," katanya.


Ketua Pembangkang DUN Perak itu sekali lagi menekankan agar Parlimen jangan disekat dalam melaksanakan fungsi sepenuhnya.


Katanya, salah satu fungsi Parlimen adalah menentukan keabsahan kerajaan. Beliau menegaskan PM Mahiaddin Yassin tidak perlu gentar untuk mengusulkan Undi Percaya terhadap kerajaan kerana sekiarnya menang maka persoalan mempertikaikan kerajaan PN akan berakhir


"Kita gentlement, kalau majoriti berikan sokongan kepada kerajaan PN silakan. Harus telus tetapi jangan disekat," katanya lagi.