Kerajaan gagal, gagal mengurus, kata Prof Agus

 




FADLI RADZI


Ekonomi negara ini berada pada tahap teruk biarpun menteri menyatakan semuanya baik, tegas Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Menurutnya, kadar pengangguran tinggi walaupun Jabatan Perangkaan melaporkannya menurun dari 4.6 peratus pada April kepada 4.5 peratus iaitu 728,100 orang Mei lalu.

“Tengok sahaja berapa kilang SME (Perusahaan Kecil Sederhana) tutup, kedai tutup, hotel tutup,” katanya.

Mengulas penafian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung dakwaan Malaysia sebuah negara gagal dalam pengurusan Covid-19, Agus berkata, terdapat perbezaan antara negara gagal dan kerajaan gagal.

“Kata menteri, bagaimana boleh kata gagal jika institusi negara seperti jabatan kesihatan dan jabatan kerajaan masih berfungsi?

“Saya bersetuju dengan kenyataan negara tidak gagal, tetapi kerajaan gagal – gagal mengurus Covid-19 dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat.

“Rakyat juga tidak kata negara gagal, rakyat cuma kata kerajaan gagal. Antara negara gagal dengan kerajaan gagal itu berbeza,” tegas Agus.

Terdahulu, laporan Bloomberg memaklumkan, Malaysia berada di tangga tercorot dalam senarai kemajuan 53 negara membuka semula ekonominya di tengah krisis pandemik Covid-19.

Senarai Kebingkasan Covid-19 bagi Jun menempatkan Malaysia di tangga ke-51, hanya di atas Filipina dan Argentina.

Mengulas lanjut, Agus dalam hantarannya di Facebook sempena ulang tahun kelahirannya hari ini menasihatkan pemimpin agar tidak menjadi diktator yang dipilih.

“Terjadinya begini kerana sejak krisis kewangan 1998, pemimpin kita jauh dari naluri rakyat. Mereka ramai yang mempunyai sindrom penafian.

“Tindakan dan dasar mereka banyak yang tergelincir dari realiti. Mereka semuanya ‘diktator yang dipilih’,” katanya lagi.

Tekanan hidup

Sehubungan itu, beliau menyifatkan politik tahun ini kacau dengan kerajaan mengisytiharkan darurat untuk mengawal Covid-19 tetapi ternyata tidak berkesan.

“Akibat darurat Parlimen dikunci. Demokrasi digantung. Impaknya tidak ada semak dan imbang.

“Lebih teruk SOP dua darjat. Hukuman pula bukan untuk mendidik dan mencegah, tetapi menghukum. Denda dikenakan di luar kemampuan rakyat,” tegasnya.

Bahkan, Agus berpendapat siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan rakyat semakin susah sehingga ada yang bunuh diri kerana tekanan hidup.

“Muncul kempen rakyat bantu rakyat dengan cara mengangkat bendera putih, tetapi usaha rakyat sebegini pun tidak disukai sesetengah pemimpin.

“Matikah jiwa pemimpin sehingga memperlekehkan usaha rakyat?’ tempelak Agus lagi.

Setakat semalam, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini meningkat kepada 827,191 kes.

Kes harian pandemik itu sudah mencatatkan angka melepasi 9,000 kes bagi dua hari berturut-turut dengan semalam sebanyak 9,353 kes sekali gus angka kes harian tertinggi sejak penularan virus berkenaan di negara ini tahun lalu.