APA JUGA USAHA MENJATUHKAN MAHIADDIN MEMANG BERMAIN POLITIK, TAPI…

 

Berikutan keputusan UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin, ada pihak yang takut kehilangan jawatan serta kedudukan berkata, sekarang bukan masanya untuk bermain politik dan jatuh-menjatuhkan kerajaan.

Kata pihak tersebut lagi, tumpuan sekarang seharusnya difokuskan untuk menangani Covid19 yang kesannya merata kepada seluruh kehidupan manusia.

Sebelum ini, ketika Anwar Ibrahim berkali-kali cuba menukar kerajaan, itulah jugalah hujah mereka.

Lagi-lagi jangan bermain politik dan kita semua harus bersama-sama dengan kerajaan.

Agaknya, mereka yang takut hilang jawatan dan kedudukan ini lupa, Mahiaddinlah sebenarnya yang paling banyak bermain politik demi kuasa sejak Covid19 melanda negara.

Kenapa setelah lebih setahun berlalu, disertai dengan pelbagai PKP, darurat dan entah apa-apa lagi, tetapi Covid19 tidak juga berkurangan jumlahnya?

Realitinya, semua itu adalah disebabkan Mahiaddin tidak henti-henti bermain politik dengan berselindung dan menggunalan alasan Covid19 dalam semua tindakannya.

Memecat musuh-musuh politiknya dalam Bersatu, termasuk Tun Mahathir Mohamad, menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan Shafie Apdal, menggantung Parlimen dan membuat lantikan demi lantikan yang bersifat potik adalah antara percaturan yang dilakukan Mahiaddin yang tiada kena-mengena langsung dengan usaha memerangi Covid19, tetapi dilakukan ketika wabak tersebut tengah menggila.

Selain ada di antara tindakan itu menyumbang kepada peningkatan kes seperti PRN Sabah contohnya,!selebihnya hanya untuk mengekalkan kuasa semata-mata.

Kalau mahu dikira lagi, PKP demi PKP dengan kes turun naik mengikut sama ada terancam atau tidak kerusi Perdana Menteri yang didudukinya, majoriti rakyat juga percaya ia adalah suatu perlaksanaan yang berniat politik sifatnya.

Kalau tidak bersifat politik, takkanlah sampai tiga kali Yang Dipertuan Agong perlu bertitah tentang keperluan Sidang Parlimen diadakan dengan segera?

Jika kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menangani Covid19 dan tidak gila untuk mengekalkan kuasa, tentunya rakyat tidak menderita seperti sekarang ini.

Negara lain boleh menangani Covid19 dengan lebih baik, termasuk yang lebih mundur daripada kita seperti Vietnam misalnya, kenapa kita berterusan gagal dan menjadikan hidup dalam sengsara yang berpanjangan?

Jawabnya tidak lain ialah kerana kerajaan dan Mahiaddin telah gagal dan hanya memperalatkan Covid19 ini untuk politik dan kelangsungan kuasanya.

Sepatutnya, dengan gagal yang berterusan itu sehingga kes bunuh diri sudah jadi berita biasa dalam negara, Mahiaddin ada perasaan malu untuk terus kekal dan menikmati gaji lumayannya.

Tidak malukan beliau dengan gaji lumayan yang dikaut, jumlah kabiinet terbesar, berbelanja sesuka hati dan lantikan politik dibuat tanpa henti, sedangkan hasilnya hanya menyebabkan rakyat tambah susah derita, selain ada yang tidak tidak tahan meneruskan hidup, lalu memilih mengambil nyawa sendiri?

Sekarang beliau dikhabarkan tidak begitu sihat dengan penyakit lama menyerangnya kembali, sampaikan kena cirit-birit pun kena seminggu perlu berehat di hospital.

Dalam keadaan ini, kenapa tidak mahu berhenti, malah melantik lagi Timbalan Perdana Menteri yang tujuannya semata-mata mainan politik untuk memecahkan lawan dan melindungi kerusi yang sedang diduduki?

Maka itu, apa pun usaha untuk menjatuhkan Mahiaddin sekarang ini, terbaru melalui keputusan UMNO menarik sokongan, memang ia bersifat politik, tetapi ia adalah untuk melawan permainan politik Perdana Menteri yang memperalatkan semua perkara untuk kepentingan kuasanya dan bukan untuk menyelesaikan masalah negara.

Selagi beliau tidak ditukar, apa pun dilakukannya untuk menangani Covid19 akan terus gagal dan negara tidak akan mampu bergerak ke mana-mana.

Pemimpin yang gagal, melakukan usaha pula dengan cara yang sama berkali-kali, tidak habis-habis mengurung rakyat tanpa henti, tidak mungkin dapat menghasilkan keputusan yang berbeza.

Untuk mendapatkan keputusan yang berbeza, jawatan Perdana Menteri mesti diisi oleh pemimpin yang berbeza juga.

Sebab itu, rakyat tiada pilihan lain melainkan harus memberi sokongan kepada apa juga permainan politik yang secara kasarnya nampak dilihat untuk menumbangkan Perdana Menteri semata-mata.

Memang luarannya nampak begitu, tetapi hasrat sucinya ialah untuk mengeluarkan rakyat serta negara ini daripada ketidaktentuan dan penyeksaan berpanjangan yang dilakukan oleh Mahiaddin yang kerjanya asyik bermain politik untuk kuasa saja.

Malah, kalau perlu, rakyat sendiri sepatutnya bangun bersatu hati untuk sama-sama menumbangkan kerajaan dan Mahiaddin yang realitinya keberadaan beliau di kerusi Perdana Menteri itu hanya menyusahkan lagi kehidupan kita.


 (ShahbudinHusin 11/07/2021)