FADLI RADZI
Ekonomi negara ini berada pada
tahap teruk biarpun menteri menyatakan semuanya baik, tegas Pensyarah kanan
Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad
Agus Yusoff.
Menurutnya,
kadar pengangguran tinggi walaupun Jabatan Perangkaan melaporkannya menurun
dari 4.6 peratus pada April kepada 4.5 peratus iaitu 728,100 orang Mei lalu.
“Tengok
sahaja berapa kilang SME (Perusahaan Kecil Sederhana) tutup, kedai tutup, hotel
tutup,” katanya.
Mengulas penafian Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung dakwaan
Malaysia sebuah negara gagal dalam pengurusan Covid-19, Agus berkata, terdapat
perbezaan antara negara gagal dan kerajaan gagal.
“Kata
menteri, bagaimana boleh kata gagal jika institusi negara seperti jabatan
kesihatan dan jabatan kerajaan masih berfungsi?
“Saya
bersetuju dengan kenyataan negara tidak gagal, tetapi kerajaan gagal – gagal
mengurus Covid-19 dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat.
“Rakyat
juga tidak kata negara gagal, rakyat cuma kata kerajaan gagal. Antara negara
gagal dengan kerajaan gagal itu berbeza,” tegas Agus.
Terdahulu,
laporan Bloomberg memaklumkan,
Malaysia berada di tangga tercorot dalam senarai kemajuan 53 negara membuka
semula ekonominya di tengah krisis pandemik Covid-19.
Senarai Kebingkasan Covid-19 bagi
Jun menempatkan Malaysia di tangga ke-51, hanya di atas Filipina dan Argentina.
Mengulas
lanjut, Agus dalam hantarannya di Facebook sempena ulang tahun kelahirannya
hari ini menasihatkan pemimpin agar tidak menjadi diktator yang dipilih.
“Terjadinya
begini kerana sejak krisis kewangan 1998, pemimpin kita jauh dari naluri
rakyat. Mereka ramai yang mempunyai sindrom penafian.
“Tindakan
dan dasar mereka banyak yang tergelincir dari realiti. Mereka semuanya
‘diktator yang dipilih’,” katanya lagi.
Tekanan hidup
Sehubungan
itu, beliau menyifatkan politik tahun ini kacau dengan kerajaan mengisytiharkan
darurat untuk mengawal Covid-19 tetapi ternyata tidak berkesan.
“Akibat
darurat Parlimen dikunci. Demokrasi digantung. Impaknya tidak ada semak dan
imbang.
“Lebih
teruk SOP dua darjat. Hukuman pula bukan untuk mendidik dan mencegah, tetapi
menghukum. Denda dikenakan di luar kemampuan rakyat,” tegasnya.
Bahkan,
Agus berpendapat siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadikan rakyat
semakin susah sehingga ada yang bunuh diri kerana tekanan hidup.
“Muncul
kempen rakyat bantu rakyat dengan cara mengangkat bendera putih, tetapi usaha
rakyat sebegini pun tidak disukai sesetengah pemimpin.
“Matikah
jiwa pemimpin sehingga memperlekehkan usaha rakyat?’ tempelak Agus lagi.
Setakat
semalam, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini meningkat kepada 827,191
kes.
Kes
harian pandemik itu sudah mencatatkan angka melepasi 9,000 kes bagi dua hari
berturut-turut dengan semalam sebanyak 9,353 kes sekali gus angka kes harian
tertinggi sejak penularan virus berkenaan di negara ini tahun lalu.