Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pendemik
Covid 19 sejak lebih setahun lalu memerlukan pertukaran kerajaan agar satu
strategi baharu yang berkesan dapat digerakkan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, kerajaan PN sedia ada memikul terlalu banyak beban 'masa silam' dan diragui keabsahannya, sehingga melambatkan usaha memerangi Covid atau memulihkan ekonomi.
"Saya doakan peralihan kuasa akan terjadi. Sebab yang pertama, kerajaan sekarang bukan absah iaitu kerajaan pintu belakang, kerajaan tebuk atap atau kerajaan yang dicuri di tengah jalan
"Kedua, terbukti kerajaan ini tak mampu dan gagal. Mereka jumpa Agong minta pengisytiharan darurat pada 11 Januari lalu. Sepatutnya darurat bantu redakan Covid 19 dan bantu rakyat hidup dalam keadaan lebih selesa.
"Tetapi angka jangkitan pula naik. Jelas juga anggota Kabinet PN ini tak efisyen oleh kerana ditangkap muat, meskipun kabinet saiz besar tetapi nak kendalikan isu Covid tak boleh diharap, apatah lagi bangunkan negara," kata Johari kepada Suara Keadilan.
Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah Tuanku Agong dan Raja-raja Melayu bertitah dengan begitu terperinci memberi penjelasan bahawa kerajaan PN telah gagal mentadbir dalam banyak hal.
"Setiap kenyataan (perenggan) dalam titah buka Parlimen (Agong dan Raja-raja Melayu) itu membayangkan, malah menjelaskan kerajaan PN gagal, jadi perlu ganti orang berkelayakan untuk mentadbir negara," katanya.
Tambah Johari, pegawai kerajaan pun ketika ini 'pening' dengan pentadbiran 'huru hara' yang ditunjukkan oleh kabinet PN.
"Oleh itu, saya yakin bila kerajaan baru ambil alih kepakaran di agensi kerajaan akan digunakan sebaik-baiknya. Misalnya Kementerian Kesihatan (KKM) sudah berpengalaman dan bukan kali pertama menghadapi wabak.
"KKM ini harus diberi tanggungjawab dalam semua isu kesihatan kerana mereka punyai kemampuan. Yang terjadi hari ini Kementerian Sains yang bukan bidang mereka diberi tugas tangani wabak. Jadi sudah tentu ada sesuatu yang luar biasa terjadi antara Kementerian Sains, Perdana Menteri dalam kerajaan PN ini.
"Namun kalau kerajaan baru ambil alih, kita akan pastikan orang yang pakar diberi tanggungjawab untuk menangani isu Covid," katanya lagi.
Spekulasi pertukaran kerajaan bertiup kencang sejak Yang di-Pertuan Agong memanggil pemimpin-pemimpin utama parti politik pertengahan Jun lalu.
Keadaan itu dijelaskan lagi apabila Agong dan Raja-raja Melayu mengeluarkan titah agar darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos dan Parlimen segera dibuka