KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan rakyat
tidak bertindak di luar batas rasional ketika berdepan dengan masalah
kesempitan hidup sehingga ada cuba meragut nyawa.
Presiden UMNO itu berkata, sayangilah keluarga, ibu bapa, isteri
dan anak-anak yang bergantung hidup kepadanya jika tidak ada lagi di sisi
mereka.
“Sentiasa percaya, Allah tidak akan
menguji hamba-Nya melebihi kemampuannya, setiap permasalahan ada penyelesaian
dan akan tiba juga masanya nanti.
“Mungkin Allah mahu mengingatkan kita kepada sesuatu dan
mengenai sesuatu. Jadi, jangan menyerah, jangan berundur, jangan berputus asa.
Hidup ini suatu perjuangan.
“Kepada bukan Muslim, agama masing-masing juga menuntut
kesabaran, bertabahlah kerana apa yang terjadi ini semua di luar kawalan kita.
Bukan kita yang menentukan ekonomi negara dan menguruskan hal pandemik
Covid-19,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, sepanjang masa,
beliau sentiasa mendoakan rakyat Malaysia berada dalam limpahan naungan rahmat
Allah dan syafaat Rasulullah.
Katanya, semua tahu ramai berada dalam keadaan tertekan, masalah
demi masalah menimpa hingga ada yang hilang pendapatan, pekerjaan, perniagaan
merudum dan pendapatan isi rumah terjejas.
“Keadaan bertambah kusut apabila bank pula berterusan mendesak
bayaran itu dan ini, sedangkan rakyat hari-hari memikirkan apa akan jadi pada
masa depan diri, keluarga, anak-anak yang masih kecil sehingga kadangkala
fikiran menjadi buntu tidak tahu apa lagi boleh dilakukan.
“Ada pula terlalu rindukan emak ayah di
kampung, anak-anak dan isteri selepas lama terpisah akibat Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) suam-suam kuku.
“Kepala bertambah runsing memikirkan ancaman Covid-19 yang masih
berleluasa, tetapi kepada yang beragama Islam ingatlah setiap yang berlaku
pasti ada hikmahnya,” kata beliau.
Bekas Timbalan Perdana Menteri ini berkata, sejak pelaksanaan
PKP suam-suam kuku, Mydin Holdings Berhad (Mydin) juga turut, betapa susahnya
hendak berniaga sekarang.
Menurutnya, pasar raya di negara ini merekodkan penyusutan 25
peratus sejak pelaksanaan PKP suam-suam kuku, malah ada pusat beli belah
menjunam sehingga 95 peratus.
“Antara puncanya disebabkan kuasa membeli dalam kalangan rakyat
merudum. Dalam erti kata lain, rakyat sudah tidak ada wang lagi.
“Jika semua pasar raya ini bungkus, apa nasib pekerja mereka.
Bertambahlah rakyat yang tiada wang. Sekarang ini pun sudah 20 peratus pekerja
dibuang kerja. Andai keadaan ini berterusan, Julai nanti mungkin bertambah
kepada 30 peratus dan Ogos pula 50 peratus,” katanya.
Beliau yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri berkata,
majoriti peniaga sektor peruncitan terutama peniaga Melayu sudah ‘hampir mati’
dengan kebanyakannya habis daya untuk menyelamatkan perniagaan masing-masing.
Katanya, walaupun Kementerian Kewangan memaklumkan institusi
perbankan akan memberi moratorium automatik, tetapi hakikatnya proses
permohonan amat sukar.
“Sebab itu kita konsisten desak kerajaan laksanakan PKP yang
sebenar. Apabila ini dilakukan, kebanyakan aktiviti ekonomi perlu dihentikan
sementara dan bank akan terikat dengan ‘social obligation’ untuk memberi
moratorium automatik.
“Ini tidak, PKP suam-suam kuku menyebabkan banyak perniagaan perlu terus beroperasi. Sebab itu bank ada alasan untuk terus menuntut bayaran daripada peniaga,” katanya.