Saya telah baca kenyataan Peguam Negara yang baru dikeluarkan
sebentar tadi yang mana Peguam Negara berkata YDP Agong perlu ikut nasihat
Jemaah Menteri i.e. Perdana Menteri untuk membuka Parlimen dan Jemaah Menteri
yang menentukan tarikh Parlimen dibuka.
Peguam Negara telah beri penjelasan panjang lebar untuk memberi
justifikasi mengapa YDP Agong perlu dengar nasihat Perdana Menteri untuk buka
Parlimen atau tidak.
Mengikut Peguam Negara, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan
berkenaan persidangan Parlimen perlu dibaca bersama Perkara 40 iaitu YDP Agong
perlu mengikut nasihat Jemaah Menteri (atau Perdana Menteri) walaupun ketika
darurat.
Saya pasti Peguam Negara amat berpengetahuan dan berpengalaman
dalam undang-undang dan Perlembagaan dan saya tidak sangkal krebilitinya ini.
Namun dalam hal ini, penjelasan Peguam Negara dalam kenyataannya
tersebut tidak lengkap.
*Ada satu perkara yang tidak dijelaskan oleh Peguam Negara:*
Iaitu apabila Perdana Menteri sedia ada tidak diyakini oleh YDP
Agong yang dia (PM) mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat berdasarkan
Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, adakah YDP Agong masih perlu dengar
nasihat Perdana Menteri tersebut?
Berdasarkan kes PP v Mohd Amin Mohd Razali (2000), mahkamah
membuat keputusan tidak.
YDP Agong hanya perlu dengar nasihat Perdana Menteri yang sah
mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Dan kuasa YDP Agong untuk melantik Perdana Menteri (serta
kesahihan Perdana Menteri) berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan di atas adalah
bersandarkan kepada hemat atau keyakinan YDP Agong yang Perdana Menteri itu
mempunyai sokongan atau kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.
*Jika Perdana Menteri tidak diyakini mempunyai sokongan majoriti
di Dewan Rakyat oleh YDP Agong, maka YDP Agong boleh melantik Perdana Menteri
yang lain.*
*Dengan kata lain, Perdana Menteri yang tidak diyakini ada
sokongan tersebut hilang kesahihan sebagai Perdana Menteri.*
Apabila ini berlaku, maka nasihat Perdana Menteri mahupun Jemaah
Menteri tersebut tidak lagi perlu diikut oleh YDP Agong.
Apa yang berlaku sekarang ialah sokongan sebenar terhadap
Perdana Menteri kini tidak diketahui. Oleh itu kesahihannya juga menjadi
persoalan.
Sebab itu sokongan dan kesahihan ini perlu dibuktikan sebelum
YDP Agong diminta mendengar nasihat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri.
Jika tidak, adalah tidak adil dan tidak betul jika YDP Agong
diminta ikut nasihat Perdana Menteri yang tidak tentu kesahihannya.
Sekian.
ISHAM JALIL
25 Jun 2021