Isu tanah LGM: Hari kedua Nazlan beri keterangan kepada SPRM

 

Ahmad Nazlan Idris tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 2.30 petang tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), Ahmad Nazlan Idris memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk hari kedua, susulan dakwaannya berhubung isu tanah yang membabitkan LGM Properties Corporation (LGMPC).

Semalam, Ahli Parlimen Jerantut itu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selama lebih empat jam.

“Hari kedua membantu pihak SPRM di Putrajaya dalam mencari kebenaran tanpa sebarang niat mengaib, jauh sekali memfitnah sesiapa,” tulis Nazlan di Facebooknya hari ini sambil memuat naik gambar beliau di hadapan pejabat SPRM Putrajaya.

Seorang pegawainya turut mengesahkan perkara itu.

“Semalam YB masuk SPRM Putrajaya jam 12.45 tengah hari, keluar 5 petang. Hari ini 2.30 petang tadi masuk dan keluar tidak pasti jam berapa,” katanya kepada FMT.

Sebelum in, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil Nazlan susulan pendedahannya mengenai isu LGMPC.

Pada 27 Mei lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Dis, 6 Jan dan 11 Mac yang didakwa berkaitan tanah milik LGM dan penglibatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali.

Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation pada harga 70 sen sekaki persegi berbanding harga pasaran RM2.50 sekaki untuk tempoh 15+10 tahun, dengan kenaikan kadar pajakan 10% setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 sekaki, sedangkan harga pasaran sekitar RM1,400 sekaki.

Dakwaan itu disokong oleh Nazlan yang mendakwa Khairuddin campur tangan dalam isu tanah agensi itu.

Bagaimanapun, LGM memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat kurang tepat berkaitan isu pajakan dan penjualan tanah miliknya.

LGM turut menafikan dakwaan Nazlan berhubung campur tangan Khairuddin, sambil mengulangi tiada perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang ditandatangani mana-mana pihak berhubung dua lot tanah di Jalan Ampang itu.

Khairuddin pula mendakwa serangan terhadapnya membabitkan isu tanah LGM didalangi pihak yang mesra dengan pimpinan Umno dan beliau sedang mengambil tindakan terhadap pihak yang memfitnahnya.