Mungkin “malu” ungkapan kurang sesuai untuk tajuk artikel ini, tetapi yang penting adalah mesejnya. Saya terpanggil menulis artikel ini selepas membaca laporan FMT 3 Jun yang juga boleh diikuti melalui video FMT.
Artikel yang dirujuk berkisar kepada pandangan dan saranan yang dilontar bekas menteri kewangan II Johari Ghani mengenai prestasi kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 yang semakin mengganas dari segala segi.
Dalam artikel berkenaan, Johari mendesak Putrajaya melakukan sesuatu dengan cepat kerana banyak yang masih huru-hara.
Beliau jarang bersuara. Tetapi nyata sekali, apabila dia membuat kenyataan, intipatinya tepat, jujur, dan bernas.
Contohnya tentang kumpulan yang berpendapatan rendah dan pekerja gaji hari yang hilang terus punca pendapatan mereka setelah “lockdown” berkuat kuasa dua hari lepas.
Mengikut statistik yang dikeluarkan, ada seramai 3.92 juta rakyat yang termasuk dalam kategori ini di seluruh negara. Saya kira ini termasuklah kumpulan orang yang juga tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan atau setiap hari. Mereka tidak seperti penjawat awam, misalnya.
Setakat ini, Putrajaya tidak pernah menyebut tentang kumpulan yang terpinggir ini atau memberi fokus terhadap kesengsaraan mereka akibat penutupan dan penyekatan yang diwartakan kerajaan ini.
Langkah yang dicadangkan oleh Johari ialah menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasaran melalui kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), serta juga wakil-wakil rakyat yang sedia ada, sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
Inilah masa yang paling sesuai untuk mereka kembali ke kawasan dan turun padang bagi membantu dan melihat sendiri betapa daifnya rakyat akibat sekatan yang dikenakan menerusi perisytiharan darurat.
Johari tepat dalam mencadangkan bantuan yang disalurkan seharusnya diperolehi dari peniaga-peniaga di kawasan itu sendiri bagi membantu ekonomi tempatan menjana sedikit pendapatan dalam keadaan yang serba kurang ini.
Bagi saya, sebagai seorang pengamal ekonomi, ini satu saranan cukup baik yang belum pernah dicadangkan sebelum ini.
Saya masih ingat pada waktu PKP pertama, banyak barangan bantuan yang dikumpulkan di sesuatu tempat yang mana kemudianya perlu dihantar ke tempat-tempat yang diperlukan.
Bukan saja pembantu-pembantu sambilan (yang terlibat secara sukarela) tidak dapat menyelaraskan permintaan logistik yang begitu mencabar, tetapi barangan yang dihantar juga tidak berkualiti, rosak, tidak mencapai sasaran, dan tempat yang memerlukannya.
Ramai yang perlu dibantu dan berharap, tetapi akhirnya tidak mendapat sebarang bantuan. Kalau pun mereka dapat, barangan yang dihantar adalah bukan yang mereka perlu.
Sebagai contoh, apa gunanya 10 paket gula tanpa teh atau kopi bersama?
Ini yang banyak terjadi dari pengalaman yang lepas kerana masalah koordinasi, logistik, dan pembahagian yang akhirnya terlalu sukar dan mencabar, tanpa bantuan dari pihak pemerintah atau penjawat awam.
Putrajaya seharusnya belajar dari kesilapan yang lepas dan mengambil kira cadangan dan saranan yang bernilai seperti ini.
Johari juga menyoal Putrajaya tentang jalan keluar yang masih samar dan tidak pasti. Tentang penyuntikan vaksin yang lembab dan perlunya berkongsi maklumat dan akaun perbelanjaan vaksin yang menggunakan dana awam.
Di sini saya ingin menarik perhatian pembaca tentang beberapa pemimpin lain yang pernah menyuarakan cadangan demi cadangan yang baik dan bernas, tetapi Putrajaya tidak ambil tahu.
Antaranya adalah komentar-komentar Mohamad Hassan atau Tok Mat (Timbalan Presiden Umno) dan juga beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh bekas menteri dan ahli Umno, Zaid Ibrahim.
Seharusnya Putrajaya mengambil masuk kepakaran yang ada pada mereka bertiga ini, untuk membantu mengatur langkah mencari jalan keluar dari Covid-19 yang melanda negara kita.
Saya percaya, demi negara dan rakyat, mereka sanggup membantu.
Rosli Khan berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri pengangkutan dan cenderung mengikuti lanskap politik negara yang sering berubah.