PETALING JAYA: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim meminta Putrajaya mendedahkan jangkaan penurunan kes Covid-19 berikutan sekatan pergerakan terbaru.
Ini kerana, katanya, negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha mengurangkan jumlah jangkitan.
“Kita mengandaikan dengan PKP, jumlah kes akan berkurangan, tetapi kita nak tahu juga rencana mereka. Kalau kita adakan PKP dua minggu atau tiga minggu, berapa pengurangan kes?” soalnya dalam webinar Pasca Covid-19 malam tadi.
“Kepimpinan mesti berikan penjelasan. Seperkara lagi dalam penyelesaian ini, janganlah kita angkuh tidak mahu dengar pandangan pakar-pakar dan juga kajian berdasarkan sains dan data.”
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pecahan kes akan membantu kerajaan merangka strategi keluar.
Data seperti itu, katanya, juga akan menyuntik kepercayaan orang ramai.
“Dengan cara ini, kita akan mengetahui seberapa berkesan PKP dan dapat menghasilkan anggaran yang realistik mengenai bila kita dapat menamatkan PKP.”
Anwar mempersoalkan keperluan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara kerana tidak ada penyelesaian yang sesuai untuk semua.
Katanya, jangkitan di Johor dapat diatasi lebih cepat berbanding Pulau Pinang, dan sekatan pergerakan perlu mengambil kira pemboleh ubah lain dan penyelesaiannya perlu berdasarkan kajian.
Beliau turut membidas pemberian vaksin yang perlahan dan mempersoalkan akauntabiliti untuk ratusan kematian berkaitan Covid-19 sejak beberapa bulan lalu.
“Sekiranya kita menerima vaksin seperti yang dijanjikan pada Mac dan April, kita tidak akan berada dalam situasi seperti ini.
“Siapa yang akan bertanggungjawab? Kerajaan? Menteri?” soalnya.