Tiada sebab untuk rakyat melahirkan rasa marah kepada kerajaan pada waktu ‘total lockdown’, tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, segala usaha yang diambil pihak berkuasa termasuk mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya (SJR) pada hujung minggu untuk memastikan kepatuhan kepada disiplin diri rakyat dipertingkatkan.
Menurut Hamzah, rakyat seharusnya mematuhi peraturan serta meningkatkan disiplin berikutan terlalu banyak statistik mengenai pandemik COVID-19 telah dikeluarkan.
“Kenapa mereka (rakyat) hendak kecewa? Mereka tidak seharusnya keluar, untuk mereka yang benar-benar perlu keluar dan membeli barangan keperluan, kita akan pastikan mereka dilepaskan.
“Tetapi untuk mereka yang tidak ada sebab, tambah-tambah hari minggu, tidak ada orang kata hendak ke pejabat pada hari minggu,” kata beliau dalam sidang media selepas membuat pemantauan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Jumaat.
Dalam pada itu katanya, bilangan SJR khususnya di Selangor serta ibu negara akan ditambah melebihi 1,000 pada setiap hari, berbanding 930 SJR dan Ops Benteng yang ada sekarang.
Hamzah berkata, keputusan itu dilakukan hasil perbincangan dengan Ketua Polis Negara dan dua negeri iaitu Selangor serta Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan.
Sebelum ini, Hamzah berkata, sekatan jalan raya di seluruh negara akan ditambah daripada 600 kepada lebih 800, bermula sekatan penuh dilaksanakan.
Kira-kira 70,000 anggota polis dan agensi bawah KDN juga akan ditugaskan sepanjang tempoh terbabit.