Tiada layanan dua darjat? Bagaimana dengan ‘orang besar’ ini, soal pemimpin BN

 

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkongsi di Facebook rklip temu bual media Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, berserta gambar yang memaparkan Muhyiddin tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjelaskan tindakan yang diambil terhadap “orang besar” yang dipaparkan dalam gambar tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

“Orang besar” yang dimaksudkan adalah Muhyiddin sendiri.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berkata dalam sebuah catatan di Facebook, Perdana Menteri perlu menjelaskan hal ini supaya tidak timbul “kegentaran awam”.

Isham membuat gesaan itu susulan temu bual media dengan Muhyiddin malam tadi, apabila beliau berkata tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang melanggar peraturan Covid-19.

“Kita tidak amalkan layanan dua darjat. Tidak kira sama ada menteri atau perdana menteri, sesiapa yang langgar (peraturan Covid-19), dan kita ada bukti ikut undang-undang, mereka takkan terlepas hukuman,” katanya dalam temu bual yang disiarkan di televisyen.

Susulan itu, Isham berkongsi di Facebook klip temu bual tersebut, berserta gambar yang memaparkan Muhyiddin tidak memakai pelitup muka di khalayak ramai.

Gambar berkenaan memaparkan Muhyiddin tiba di mesyuarat Bersatu Johor pada 31 Mac.

Laporan berita bahawa beliau mempengerusikan mesyuarat itu, dan gambar menunjukkan ketibaannya diterbitkan di beberapa portal berita, termasuk Kosmo!, Utusan Malaysia, dan Sinar Harian.

“Sudah hampir dua bulan ada orang besar itu dilihat langgar SOP tetapi sehingga kini apakah tindakan yang diambil?”

“Habis ini macam mana cerita?” soal Isham di Facebook.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan Covid-19, individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam akan dikompaun RM1,500.