MAHIADDIN KINI SERBA TAK KENA, TANDA KEBENCIAN RAKYAT KEPADANYA TIADA LAGI UBATNYA, KECUALI…

 

Di mata rakyat, khususnya netizen, tidak ada yang kena atau sesuai lagi dilakukan oleh Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin ketika ini.

Asyik dengan perutusan khas tak kena, cuba tunjuk berani mengadakan bual bicara khas dengan media pun akhirnya sama tidak kena juga.

Selain program itu dipertikaikan kerana ia merupakan rakaman, sedangkan beberapa saluran TV mempromosikannya sebagai “live”, apa yang diperkatakan Mahiaddin dalam bual bicara itu lebih banyak menjadi kritikan, malah persendaan.

Paling banyak ialah pengakuannya yang tak kisah dianggap bodoh, mengakui tidak mampu menjaga 32 juta rakyat Malaysia, mengatakan tiada “double standard” dalam penguatkuasaan SOP dan pengakuan tentang ketidakmampuan kerajaan melaksanakan SOP penuh kerana beban ekonomi yang besar yang terpaksa ditanggung.

Dalam semua perkara yang diperkatakan itu, semuanya terkena balik kepada Mahiaddin sendiri.

Dalam kes tak kisah dikata bodoh, macam-macam tafsiran dihujahkan berkaitan apa yang diperkatakannya itu dan pokoknya, sebagai Perdana Menteri, adalah amat janggal dan memalukan apabila beliau membuat pengakuan sedemikian rupa.

Berhubung kata-katanya tidak mampu menjaga 32 juta rakyat, beliau terus terus dikritik dan dipersoalkan – apa gunanya jadi Perdana Menteri dan memiliki kuasa, ada kabinet, kementerian, ratusan jabatan, menteri, timbalan menteri, dana kerajaan dan lain-lain lagi jika bukan untuk menjaga kebajikan dan memastikan kesejahteraan rakyat?

Berkaitan penguatkuasaan SOP yang kononnya kerajaan tiada “double standard” dalam perlaksanaannya, perkara itu lantas disusuli dengan beberapa keping gambar Mahiaddin yang dilihat tidak memakai pelitup muka serta videonya menghadiri sebuah program tapi tidak mengimbas aplikasi mysejahtera.

Tentang beban ekonomi katanya sebesar RM0.5 trillion jika PKP penuh dilaksanakan, persoalan yang dibangkitkan ialah, apa masalahnya dengan kos sebenar itu yang terpaksa ditanggung kerajaan jika yang ingin diselamatkan ialah nyawa rakyat?

Kenapa Mahiaddin terlalu berkira untuk menyelamatkan 32 juta nyawa?

Atau adakah ia gambaran ketidakmampuannya dalam mengurus negara?

Kalau tidak mampu, kenapa masih mahu kekal lagi sebagai Perdana Menteri?

Yang nyata sekarang ini, tidak kira apa pun yang dilakukannya, tiada lagi yang cocok di mata rakyat berkaitan dengannya.

Baik bagaimana beliau memunculkan diri atau apa yang diperkatakannya, semuanya sudah tidak kena lagi.

Asyik duduk di pejabat tak kena, tampil di khalayak ramai seperti pergi ke bazar Ramadan sebelum ini, akhirnya yang menjadi bualan hanyalah perkara-perkara yang tidak kena, buat perutusan khas tak kena dan tampil dalam bual bicara khas juga tidak kena.

Petanda apa semua ini?

Tidak lain ini adalah petanda Mahiaddin sudah ditahap maksimum tidak disukai dan dibenci oleh rakyat negara ini.

Semua ini, jika diperhati adalah salah dan silap yang berpunca daripada Mahiaddin sendiri.

Beliau harus menengok kembali segala-galanya – daripada laluannya menerobos pintu pengkhianatan untuk menjadi Perdana Menteri, dikelilingi oleh pemimpin-pemimpin yang juga pengkhianat, menjadi ketua kerajaan yang suka menyembunyikan diri di pejabat dengan penampilan hanya melalui perutusan khas demi perutusan khas, berkira dalam meluluskan bantuan yang diperlukan rakyat, menguatkuasakan darurat, menggantung Parlimen dan lain sebagainya – semua itu adalah tindakan-tindakan yang pada hakikatnya tidak disukai oleh majoriti rakyat yang umumnya mencari rezeki dan hidup di negara ini secara jujur.

Apabila pemimpin berbuat sesuatu, lebih-lebih lagi jika satu demi satu, perkara-perkara yang tidak selari dengan kejujuran, keinginan atau keperluan rakyat, maka inilah padahnya.

Pendeknya, apa yang dituai Mahiaddin sekarang adalah hasil apa yang ditanamnya sendiri.

Kemarahan dan kebencian rakyat sekarang hanya akan selesai jika mereka berjaya melihat beliau akhirnya tersingkir sebagai Perdana Menteri.

Lalu, apa yang boleh dilakukan Mahiaddin agar beliau dapat kembali disukai rakyat?

Hanya satu – LETAK JAWATAN!!

Percayalah, selepas meletak jawatan, akan mencurah-curah sanjungan dan pujian diberikan kepadanya.


 (ShahbudinHusin 25/05/2021)