Pakar Hospital Putrajaya suruh media ‘tak payah cerita artis langgar SOP,’ tumpu kebaikan vaksin; KKM mahu penjelasan

FMT Reporters  - May 25, 2021  



Kenyataan Dr Rafidah mendapat kritikan pengamal media yang menegaskan mereka tidak meminggirkan laporan mengenai program pemberian vaksin kerajaan. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tampil menegur kenyataan Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah, mahukan media menghentikan laporan artis melanggar SOP dan sebaliknya “menunjukkan kebaikan vaksin” kepada rakyat.

“Kenyataan Dr Rafidah bukanlah kenyataan rasmi kementerian. Pihak KKM akan memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan perkara sebegìni tidak berulang lagi.

“KKM sangat menghargai peranan media yang banyak membantu kementerian dalam menangani wabak pandemik Covid-19. Sebarang kesulitan yang timbul adalah amat dikesali,” kata KKM dalam kenyataan.

Terdahulu, Rafidah, menerusi catatan di Twitter miliknya dilihat menegur media kerana, menurutnya, tidak mengutamakan laporan yang menggalakkan keperluan rakyat mendapatkan vaksin Covid-19.

“Media mana? Tolong tunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat. Tak payahlah cerita artis langgar SOP. Pedulikan mereka ini.

“Gantikan program tidak berilmiah dengan yang boleh mempengaruhi minda masyarakat kita ke arah membuat keputusan yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan terbuka itu mendapat kritikan pengamal media yang menegaskan mereka tidak meminggirkan laporan mengenai program pemberian vaksin kerajaan.

Wartawan dengan tanda nama Junhairi Alyasa berkata, mereka komited membuat liputan di pusat vaksin dan pusat kuarantin negara walaupun hampir semua media masih belum menerima vaksin.

“Malangnya, kami media semua belum dapat vaksin walaupun hari-hari kena pergi pusat vaksin untuk tengok orang dapat vaksin,” balasnya.

Sementara Hussaini Amran menyifatkan Rafidah sebagai seorang individu yang malas membaca dan tidak membaca laporan berita secara menyeluruh setiap hari.

“Jenis malas membaca,” katanya ringkas.

Media arus perdana dan portal sebelum ini memberikan liputan meluas kepada pelanggaran SOP oleh orang ramai, ahli politik dan selebriti. Antara mereka adalah Neelofa dan suaminya yang disiasat polis dan di dakwa di mahkamah atas beberapa kesalahan itu.