-
May 25, 2021
Keadaan LRT dan situasi penumpang di dalam koc tren selepas
terlibat dalam kemalangan membabitkan dua tren yang bertembung semalam,
menyebabkan 213 orang cedera, manakala 47 daripadanya parah.
PETALING
JAYA: Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam (4PAM) mendesak Pengerusi Prasarana
Tajuddin Abdul Rahman dipecat serta-merta kerana gagal menguruskan insiden
melibatkan dua tren LRT yang bertembung di dalam terowong antara stesen Kampung
Baru dan KLCC, malam tadi.
Presidennya,
Ajit Johl berkata beliau malam tadi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau
mengunjungi lokasi bencana yang disifatkan terburuk dalam sejarah pengangkutan
sistem tren negara.
“Ini
tidak menghormati keselamatan dan kebajikan penumpang,” katanya satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya
47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 lagi mengalami cedera ringan dalam
pertembungan dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya pada
jam 8.45 malam.
Insiden itu adalah kejadian pertama dalam sejarah sejak ia
beroperasi 23 tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah,
dilaporkan berkata tren tanpa pemandu dari Gombak membawa 213 penumpang,
manakala tren dipandu manual dari arah Kelana Jaya tidak membawa penumpang,
dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.
Dalam pada itu, beliau mahu Prasarana, sebagai syarikat tunggal
bertanggungjawab menguruskan sistem pengangkutan awam negara bertanggungjawab
melindungi penumpang yang tercedera dengan memastikan rawatan dan pampasan yang
sewajarnya.
“Ini adalah masalah yang sangat serius, keselamatan penumpang
pengangkutan awam adalah masalah yang telah disuarakan secara konsisten 4PAM
sejak tujuh tahun lalu.
“Bagaimana operator (Prasarana), penggubal dasar dan Kementerian
Pengangkutan dapat memberi jaminan bahawa pengguna akan dilindungi dan diwakili
dengan baik ketika mereka tidak berada sekali di bahagian penyelidikan?,” soal
beliau.
Beliau menegaskan, pihaknya sudah meminta kerajaan membentuk
Tribunal Pengangkutan Awam bagi memastikan keselamatan penumpang pengangkutan
awam dilindungi dan terjamin.
“4PAM merayu Perdana Menteri untuk memastikan pengguna diwakili
dan menubuhkan segera Tribunal Pengangkutan Awam untuk menyiasat insiden ini,”
katanya.
Kelibat Tajuddin di lokasi kejadian malam tadi menjadi tanda
tanya warganet apabila hanya Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilihat turun
padang.
Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu sudah melawat
lokasi kejadian pagi ini.