Kemalangan LRT: Loke seru siasat secara mendalam

 

Oleh B. Suffian

Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyeru pihak polis agar membuat siasatan secara mendalam terhadap kemalangan melibatkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi. 

Beliau berkata, ini memandangkan kejadian terbabit menyebabkan kecederaan orang awam. 

Menurut beliau, sekiranya ia melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat  2010 mesti diambil segera. 

“Kemalangan dua tren LRT ini merupakan satu kemalangan tren yang sangat serius dan yang paling teruk dalam sejarah LRT sejak ia beroperasi pada tahun 1998 di negara kita.

“Selain siasatan polis, taskforce (pasukan petugas) siasatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan mesti terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam bidang tren. 

“Dan (pasukan itu) diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. 

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, laporan daripada taskforce bebas tersebut mesti diumumkan secara telus kepada pihak orang ramai. 

Gambar di media sosial

Seterusnya, tegas beliau, tindakan susulan untuk memperbaiki segala kelemahan mesti diambil serta merta untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara. 

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pihak bomba, pihak polis dan para petugas kecemasan dari hospital berdekatan yang berjaya menyelamatkan semua mangsa dari tren tersebut,” katanya. 

Media melaporkan, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 lagi cedera ringan apabila dua tren LRT bertembung berhampiran stesen KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka yang cedera dikejarkan ke hospital dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.45 malam itu.