Oleh Ghafar NS
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diseru menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) segera.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam kenyataan Sabtu lalu berkata, Parlimen dan DUN perlu segera bersidang untuk membentuk barisan melawan Covid-19 yang kuat dengan lima matlamat:
1) Mobilisasi kebangsaan
2) Mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat
3) Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu golongan yang memerlukan
4) Ujian saringan saringan besar-besaran
5) Mempercepatkan program vaksinasi.
Sementara itu, Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini berkata, India dan Amerika Syarikat terus menunjukkan penurunan mendadak dalam kes baharu.
Namun begitu kata beliau, Malaysia selama 12 hari berturut-turut terus menunjukkan peningkatan mendadak kes positif baharu Covid-19, sehingga memecahkan rekod sebelumnya.
“Bukankah ini bukti jelas yang menunjukkan kerajaan Muhyiddin telah gagal dalam perang melawan pandemik Covid-19, serta pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 dengan alasan untuk melawan pandemik tidak berjaya?
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil pendekatan dan strategi baharu bagi memenangi perang menentang virus ini,” tambah veteran DAP itu lagi.
Kit Siang seterusnya menyarankan Muhyiddin untuk segera memanggil persidangan semua parti politik dan NGO untuk menyelamatkan Malaysia dengan rancangan perang lima-mata iaitu:
1) Mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam rancangan melawan Covid-19
2) Mobilisasi nasional semua rakyat Malaysia untuk memastikan terdapat pendekatan dan strategi melibatkan “keseluruhan masyarakat”
3) Pakej rangsangan ekonomi baharu untuk membantu golongan miskin dan memerlukan
4) Langkah Carian-Ujian-Jejak-Asingkan-Sokongan (FTTIS) yang berkesan dan efisyen untuk memastikan kita berada di hadapan lengkuk penularan wabak ini
5) Pemecutan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), terutamanya memandangkan terdapat pelbagai varian baharu yang merbahaya.
Kit Siang menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik, untuk sama-sama mengenepikan perbezaan peribadi serta politik untuk memberikan tumpuan tidak berbelah bahagi terhadap tugas memenangi peperangan melawan Covid-19.
Menurutnya, langkah ini agar punca rezeki dan kehidupan setiap rakyat Malaysia dapat diselamatkan.