FMT Reporters - May 25, 2021
Kenyataan Dr Rafidah mendapat kritikan pengamal media yang
menegaskan mereka tidak meminggirkan laporan mengenai program pemberian vaksin
kerajaan. (Gambar Facebook)
PETALING
JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tampil menegur kenyataan Pakar Perunding
Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah, mahukan
media menghentikan laporan artis melanggar SOP dan sebaliknya “menunjukkan kebaikan
vaksin” kepada rakyat.
“Kenyataan
Dr Rafidah bukanlah kenyataan rasmi kementerian. Pihak KKM akan memanggil
beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan perkara sebegìni
tidak berulang lagi.
“KKM
sangat menghargai peranan media yang banyak membantu kementerian dalam
menangani wabak pandemik Covid-19. Sebarang kesulitan yang timbul adalah amat
dikesali,” kata KKM dalam kenyataan.
Terdahulu,
Rafidah, menerusi catatan di Twitter miliknya dilihat menegur media kerana,
menurutnya, tidak mengutamakan laporan yang menggalakkan keperluan rakyat
mendapatkan vaksin Covid-19.
“Media
mana? Tolong tunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat. Tak payahlah cerita artis
langgar SOP. Pedulikan mereka ini.
“Gantikan
program tidak berilmiah dengan yang boleh mempengaruhi minda masyarakat kita ke
arah membuat keputusan yang betul,” katanya.
Bagaimanapun,
kenyataan terbuka itu mendapat kritikan pengamal media yang menegaskan mereka
tidak meminggirkan laporan mengenai program pemberian vaksin kerajaan.
Wartawan
dengan tanda nama Junhairi Alyasa berkata, mereka komited membuat liputan di
pusat vaksin dan pusat kuarantin negara walaupun hampir semua media masih belum
menerima vaksin.
“Malangnya, kami media semua belum dapat vaksin walaupun
hari-hari kena pergi pusat vaksin untuk tengok orang dapat vaksin,” balasnya.
Sementara Hussaini Amran menyifatkan Rafidah sebagai seorang
individu yang malas membaca dan tidak membaca laporan berita secara menyeluruh
setiap hari.
“Jenis malas membaca,” katanya ringkas.
Media arus perdana dan portal sebelum ini memberikan liputan
meluas kepada pelanggaran SOP oleh orang ramai, ahli politik dan selebriti.
Antara mereka adalah Neelofa dan suaminya yang disiasat polis dan di dakwa di
mahkamah atas beberapa kesalahan itu.